Sorting by

×

JKM Melaka salur bantuan kepada waris mangsa tanah runtuh

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

SERI BENDAHARA – Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Melaka akan menyalurkan bantuan kepada waris mangsa dari Machap Jaya yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Batang Kali, Jumaat lalu.

Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, ia membabitkan bantuan berbentuk kewangan dan kit makanan.

Katanya, pihaknya bersama JKM juga akan menziarahi keluarga mangsa dalam waktu terdekat.

“Sebagai wanita, ibu dan nenek, saya turut terkesan dengan tragedi menyayat hati yang berlaku itu lebih-lebih lagi ia melibatkan nyawa kanak-kanak. Kita rakyat di Negeri Melaka turut terkesan, difahamkan ada lapan mangsa daripada tragedi itu adalah rakyat Melaka yang mana tiga telah ditemui dan lima lagi masih belum ditemui.

“Selaku Exco yang dipertanggungjawabkan, saya akan membuat kunjung hormat kepada keluarga mangsa dalam masa terdekat, insya-Allah bentuk bantuan itu kita akan fikirkan, apapun kita akan buat yang terbaik untuk memberi bantuan atas kesedihan yang dilalui keluarga mangsa.

“Insya-Allah bantuan kit makanan sedia ada kita akan salurkan dan bantuan kewangan kita akan cuba dapatkan bagi membantu meringankan beban mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Perayaan Krismas Tahun 2022 yang disampaikan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali di Seri Bendahara di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, VP. Shanmugam; Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem dan Pengarah JKM Melaka Burhanuddin Bachik.

Terdahulu seramai 200 penerima diberikan sumbangan untuk menyambut Krismas pada 25 Disember ini, daripada jumlah itu seramai 95 penerima dari Melaka Tengah, 63 Alor Gajah dan 42 penerima dari Jasin.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1826
Kongsi :
Previous post Bomba nafi beri kebenaran orang awam, sukarelawan sertai SAR tanah runtuh
Next post Banjir: Enam jalan menghubungkan Terengganu – Kelantan ditutup
Ubah saiz-+=