![Screenshot 2023 03 25 16 29 46 547 Edit Com.whatsapp](https://www.melakahariini.my/wp-content/uploads/2023/03/Screenshot_2023-03-25-16-29-46-547-edit_com.whatsapp.jpg?v=1679733031)
JKM Melaka pantau aktiviti mengemis, minta sedekah di pasar Ramadan
PERINGGIT 25 Mac – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menggerakkan pasukan dari Unit Perundangan dan Advokasi (PU) bagi memantau tindakan segelintir individu yang meminta sedekah di tempat awam khususnya di pasar Ramadan.
Ia susulan, video pendek yang tular menunjukkan seorang wanita asing meminta sedekah di Pasar Ramadan Peringgit yang mengundang rasa kurang senang orang ramai.
Menerusi video itu juga, wanita terbabit mengaku sebagai warganegara Myanmar.
Pengarah JKM Melaka Burhanuddin Bachik berkata, pihaknya akan menggerakkan pasukan PU ke lokasi aduan untuk menyiasat dan mengambil tindakan dibawah bidang kuasa JKM.
“Daripada video yang tular kita dapati wanita itu adalah warga asing, mungkin Rohingya atau pemegang kad Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR).
“Untuk itu ia bukan bawah bidang kuasa JKM namun begitu pasukan PU akan digerakkan ke lokasi untuk membuat rondaan.
“Sekiranya masih ada, tindakan yang boleh diambil adalah meminta dia beredar dari lokasi dan memberi amaran supaya tidak melakukan aktiviti pengemisan atau meminta sedekah lagi,” katanya.
Menurut beliau, pihaknya juga akan berhubung dengan Jabatan Imigresen supaya tindakan lanjut boleh diambil agensi itu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.