JKM, Jabatan Perangkaan santuni warga RSK daftar PADU
PAYA RUMPUT 14 Januari – Seramai 119 penghuni Rumah Seri Kenangan (RSK), Cheng selesai mengemaskini dan mendaftar maklumat diri terkini di Pengkalan Data Utama (PADU).
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin berkata, rumah jagaan warga emas itu adalah lokasi pertama di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang dikunjungi Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM), bagi membantu proses pendaftaran PADU.
Jelasnya, DoSM bersama JKM bersama-sama mengunjungi rumah jagaan itu bagi memudahkan penghuni khususnya mereka yang mengalami keuzuran.
“Sehingga kini seramai 119 orang penghuni sudah dikenal pasti dan selesaikan mendaftar maklumat di PADU manakala 56 orang lagi dalam proses kemaskini.
“Apabila kesemua penghuni di sini selesai dibantu dengan mengemaskini dan mendaftar mereka tidak akan terkecuali daripada menerima bantuan diumumkan kerajaan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu berkata demikian ketika hadir melawat proses pendaftaran PADU di RSK Cheng, di sini, hari ini.
Hadir sama Pengarah JKM negeri Zulkifli Hanifah; Pengarah DoSM negeri, Abang Saifulhadi Abang Ibrahim serta Ahli Lembaga Pelawat RSK Cheng.
Kalsom berkata, selepas RSK Cheng, kaunter fizikal Jabatan Perangkaan akan digerakkan ke institusi di bawah JKM yang lain termasuklah Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) dan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE).
“Sememangnya JKM akan memperluaskan insiatif ini dalam usaha membantu mencapai sasaran yang ditetapkan jadi RSK Cheng ini adalah permulaannya.
“Selepas itu kita akan ke PAWE untuk menyalurkan maklumat dan membantu mendaftar selain juga ke PPDK untuk golongan sasar iaitu mereka berusia 18 tahun keatas,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.