JKKN Melaka tampil olahan persembahan luar biasa pada 16 September
AYER KEROH 4 September – Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKNN) Melaka akan membawakan persembahan berkonsepkan imbas kembali (flashback) pada Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan pada 16 September ini.
Pengarahnya, Azlina Elias berkata sambutan di Dataran Pahlawan itu akan menampilkan persembahan olahan mengandungi imbas kembali, teatrikal dan musikal.
Katanya, antara penggarab utama seni persembahan itu bukanlah hiburan semata-mata namun ia mengandungi sejarah bagaimana pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara pada tahun 1963.
“Kita masukkan konsep ‘flashback’, ‘teatrical’ dan musikal, di mana ia bukan hiburan semata-mata namun ia mengandungi erti pembentukan Malaysia pada tahun 1963.
“Banyak konsep ‘flashback’ yang kita gunakan dan kita garab sebaik mungkin untuk membolehkan generasi sekarang menghayati nilai pembentukan Malaysia itu sndiri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Festival Tari Malaysia Zon Selatan dan Kejuaraan Tari Kanak-Kanak peringkat negeri di Kompleks JKKN Melaka di sini hari ini yang turut dihadiri Exco Pendidikan dan Teknologi negeri, Datuk Rais Yasin.
Mengulas lanjut, Azlina berkata seperti yang disarankan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, beliau turut mengharapkan kesemua jemputan yang hadir ke sambutan itu memakai nuansa busana bertemakan tahun 1960-an.
Katanya, ia akan menjadi satu kemeriahan yang luar biasa sekaligus dapat mempromosikan pakaian tradisional dan etnik pada tahun tersebut.
“kita minta semua yang menghadiri untuk memakai busana tahun 1960-an, tetamu turut digalakkan untuk memakai baju mengikut etnik masing-masing tetapi mengikut nuansa 60-an.
“Ia akan menjadi satu kemeriahan yg luar biasa, selain mengerti hari malaysia kita juga, sama-sama mempromosikan pakaian tradisional dan etnik kita sendiri dengan bangganya di Dataran Pahlawan itu sendiri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.