JKDM rampas minuman keras bernilai lebih RM1.65 juta
MELAKA 16 Mac. – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas minuman keras pelbagai jenama bernilai lebih RM1.65 juta dalam serbuan di sebuah Gudang Berlesen Awam di Puchong, Selangor, minggu lalu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, turut ditahan dalam serbuan kira-kira jam 7.30 petang pada 9 Mac lalu itu adalah empat lelaki termasuk dua warga asing.
“Kesemua rampasan itu membabitkan minuman keras kira-kira 18,241.82 liter dengan nilai keseluruhan RM1,657,201.93 termasuk duti dan cukai terlibat.
“Kesemua empat lelaki yang berusia antara 24 hingga 47 tahun itu ditahan ketika cuba menempatkan minuman keras yang diseludup di gudang terbabit,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, pemeriksaan pada borang mendapati barang-barang yang diisytiharkan hanya minuman keras jenis ‘beer’ tetapi muatan di sebenar terdapat arak beralkohol tinggi (liqueur).
“Modus operandi yang digunakan dalam kegiatan ini adalah memanipulasi borang Nombor 8 sebagai lakonan bagi mendapatkan minuman keras itu dari Pelabuhan Klang.
“Mereka memanipulasi pergerakan barangan ini dengan melakukan transit dari Pelabuhan Klang ke sebuah gudang berlesen awam di Puchong,” katanya.
Abdul Latif berkata, siasatan lanjut mengenai individu di sebalik kegiatan ini serta ia dibawa masuk dari negara mana masih dalam siasatan pihaknya.
“Siasatan masih diteruskan oleh pegawai penyiasat selain kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1967,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.