Jiwa saya selamanya guru
AYER LIMAU 16 Mei – Kemahuan seorang guru untuk mendidik anak bangsa menjadi manusia berguna tidak pernah luntur dalam diri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer meskipun sudah bergelar Yang Berhormat (YB).
Meskipun sudah lebih 100 hari bergelar YB, Hameed berkata dia merasakan dirinya masih seorang warga pendidik kerana peranan yang dimainkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan guru adalah sama.
Katanya, ketika berkhidmat di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Jasin, dia cuma melayan kerenah pelajar di sekolah, tapi kini tugasnya semakin mencabar kerana perlu mendidik komuniti lebih besar dalam memenuhi visinya untuk melahirkan insan yang berguna.
“Tidak dinafikan ramai anak muda sekarang ini cemerlang dalam akademik, tapi dilihat aspek, sahsiah, moral dan agama khusus fardu ain serta fardu kifayah, pengetahuan mereka cetek, ketinggalan.
“Contoh saya mahu melahirkan korporat yang berakhlak, bukan korporat yang ‘keparat’. Barulah dapat lahirkan bangsa berintegriti, sayangkan agama dan negara.
“Sebagai guru ini yang sama tekankan, keseimbangan antara dunia dan negeri abadi kita nanti biarlah seiring. Ini adalah tanggungjawab saya galas sepanjang 20 tahun menjadi pendidik dan diteruskan selepas bergelar ADUN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Jeram.
Berkongsi pengalamannya Hameed berkata, guru cemerlang bukan setakat berusaha melahirkan pelajar cemerlang dalam akademik sebaliknya mengenal diri dan erti kehidupan bagi membolehkan seseorang menempuh hari mendatang serta berdikari.
Tegasnya, seorang guru tidak boleh lokek dan perlu sentiasa kreatif dalam mencari jalan untuk membantu khususnya pelajar kurang berkemampuan dalam kalangan B40.
“Pernah bekas pelajar saya yang cuma bawa bekalan RM10 dari rumah untuk perbelanjaan mingguan, menggambarkan ibu bapanya memang kurang berkemampuan. Pelajar ini harapkan kafe untuk makan dan minum kerana RM10 tidak banyak yang dia boleh belanja.
“Pelajar seperti ini saya hampiri dan bantu, tidak semestinya wang ringgit tetapi suntikan semangat, alhamdulillah dia sudah berjaya dan sampai sekarang kami masih berhubung.
“Secara peribadi ini satu kepuasan bagi saya kerana dapat membantu membentuk manusia berguna yang kemudian akan kembali menyumbang kepada masyarakat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.