JIWA Komuniti MADANI medium eratkan pemimpin, masyarakat

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

TELOK MAS 24 Jun – Program JIWA Komuniti MADANI menjadi medium dalam menghubungkan kerajaan dengan masyarakat di seluruh Negeri Melaka.

Program berbentuk mini karnival itu telah menjelajah ke seluruh negeri dan terbaharu mendekati warga Parlimen Kota Melaka dengan pelbagai pengisian dan aktiviti menarik untuk segenap lapisan masyarakat.

Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong berkata, program turun padang oleh Jabatan Penerangan Negeri Melaka itu dapat mewujudkan kebersamaan serta membina keharmonian di antara pemimpin dan rakyat di negeri ini.

Selain itu, katanya, ia juga secata tidak langsung berupaya menerapkan nilai-nilai murni berlandaskan tonggak Malaysia MADANI.

“Melalui aktiviti seumpama ini juga ia diharap dapat menjelaskan dan menyebarluaskan kepada masyarakat mengenai inisiatif dan program kerajaan kepada komuniti seperti langkah kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi diesel bagi mengurangkan ketirisan melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Program BUDI MADANI.

“Pada masa sama, ia juga dapat menyampaikan maklumat berkaitan isu-isu semasa yang berlaku dalam negara seperti jenayah penipuan dalam talian kepada penduduk setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program JIWA Komuniti MADANI Parlimen Kota Melaka di Padang Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Mas, di sini, semalam.

Hadir sama, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang Allex Seah Shoo Chin; Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri merangkap Adun Kota Laksamana Low Chee Leong; Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti merangkap Adun Banda Hilir Leng Chau Yen; Pengarah Penerangan Negeri Melaka Ab Rasil Hajatil dan lain-lain kenamaan.

Whatsapp Image 2024 06 24 At 11.04.33
POAY Tiong turut menyertai acara tarik tali.

Pada majlis itu, pelbagai aktiviti diadakan antaranya, pameran pelbagai agensi dan jabatan kerajaan, taklimat jenayah scam oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta sukan rakyat seperti congkak, lari dalam guni, tarik tali dan terompah gergasi.

Menariknya, acara sukan rakyat itu membabitkan kesemua enam Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Kota Melaka, di mana ia turut disertai pemimpin masyarakat termasuk Poay Tiong yang menyertai acara sukan tarik tali.

Di akhir acara, DUN Telok Mas muncul johan keseluruhan, sekali gus menjulang Piala Komuniti MADANI Parlimen Kota Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

355
Kongsi :
Previous post Melaka kongsi kejayaan Zon Bebas Kenderaan di Brazil
Next post RM1.7 juta bantu pendigitalan usahawan desa
Ubah saiz-+=