JIM Melaka tahan 35 PATI
PAYA RUMPUT 29 Jun – Cubaan 35 pendatang tanpa izin (PATI) melarikan diri dengan bersembunyi ketika diserbu oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka, gagal apabila ditahan di tapak pembinaan projek perumahan di Tanjung Minyak, di sini, malam tadi.
Bagaimanapun, semua lelaki warganegara Indonesia dan Bangladesh berusia 25 hingga 45 tahun itu berjaya ditahan dalam serbuan oleh 44 pegawai dan anggota JIM negeri yang turut dibantu 25 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
Pengarah Imigresen negeri, Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, ketika serbuan itu terdapat PATI cuba melarikan diri dengan bersembunyi di sekitar kawasan penempatan pekerja namun kelicikan mereka dapat dihidu anggota penguat kuasa sebelum ditahan.
Menurutnya, Operasi Bersepadu itu dilakukan bermula jam 11 malam dan berakhir lima jam kemudian dengan menyerbu penempatan pekerja sebelum menjalankan pemeriksaan ke atas 171 pekerja warga asing.
Hasil pemeriksaan itu 35 daripada mereka didapati melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen (AI) 1957/63, katanya.
“Berikutan itu, kita menahan 25 PATI melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6 (1) (c) AI iaitu tiada dokumen perjalanan yang sah manakala lima lagi mengikut Seksyen 15 (1) (c) akta sama kerana tinggal lebih masa.
“Selain itu, lima lagi PATI ditahan mengikut kesalahan Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan PATI supaya tindakan penguatkuasaan dapat dijalankan tanpa kompromi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.