Jijik..jeruk sayur berbau dijual kepada pelanggan

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

MALIM 26 Jan – Bukan sahaja kotor dan menjijikkan malah tong mengandungi jeruk sayur ditawarkan untuk jualan kepada orang ramai di sebuah pasar raya dikesan diletakkan diatas lantai berhampiran ruangan barangan basah.

Tong berkenaan juga mengeluarkan bau kurang menyenangkan selepas dibuka oleh pegawai penguat kuasa Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka yang menjalankan pemeriksaan di premis berkenaan, di sini, petang semalam.

Dalam pemeriksaan sama pegawai penguat kuasa turut merampas sayur-sayuran sudah rosak, namun masih dijual kepada pengguna.

Kesalahan lain dikesan dilakukan pengusaha premis sama adalah menjual barangan import yang meragukan berikutan faktor pelabelan tidak mematuhi piawaian.

Pengarah JKN Melaka, Dr. Rusdi Abd. Rahman berkata, hasil serbuan itu pihaknya merampas 291 barangan dengan hasil sitaan berjumlah RM1,310.69.

“Pihak pengurusan pasar raya turut dikenakan dua notis kompaun berjumlah RM6,000 mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Pemakanan 1983.

“Kita mendapati perkara yang berlaku ini berkemungkinan disebabkan terlepas pandang atau sengaja mengambil kesempatan ke atas pengguna,” katanya.

Katanya, kesalahan menjual barangan luput kerap dikesan pihaknya ketika menjalankan pemeriksaan dan berharap pihak peniaga lebih peka dengan kualiti produk dijual.

“Peniaga dinasihatkan agar memenuhi kriteria yang ditetapkan sekiranya ingin menjual barangan import, mereka perlu meletakkan nama syarikat pengimport dan pelabelan tarikh luput yang jelas,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1117
Kongsi :
Previous post Melaka tubuh ‘pasukan’ tangani babi hutan – EXCO
Next post Usah bimbang, ASF hanya serang babi komersial bukan babi hutan – EXCO
Ubah saiz-+=