Sorting by

×

JETI BAHARU LANCARKAN LAGI OPERASI ECO-CRUISE SUNGAI LINGGI

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

AYER LIMAU 15 November – Pembinaan sebuah jeti baharu di muara Sungai Linggi, dijangka mampu memperhebatkan lagi aktiviti pelancongan di Pusat Eko-Pelancongan Paya Lebar yang terkenal dengan keindahan flora dan fauna selain menjadi habitat sang bedal.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Shaharul Azuar Idris berkata, pembinaan jeti sedang dalam perancangan itu juga akan melancarkan lagi perkhidmatan bot Eco-Cruise Sungai Linggi.

Jelasnya, sebelum ini perkhidmatan bot Eco-Cruise Sungai Linggi bergantung kepada pasang surut air menyebabkan jadual perjalanan terpaksa ditangguhkan akibat fenomena alam yang berlaku.

“Pembinaan jeti baharu ini membolehkan perkhidmatan bot pelancong beroperasi setiap masa, tujuh hari seminggu. Kita sudah mengenal pasti lokasi sesuai bagi pembinaan jeti berkenaan dan jika semuanya berjalan lancar ia akan dimulakan tahun hadapan.

“Kemudahan baharu ini memberi nilai tambah dan pilihan kepada pengunjung, mereka boleh menaiki bot ini sama ada dari Pusat Eko-Pelancongan Paya Lebar atau muara Sungai Linggi,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatannya ke Pusat Eko-Pelancongan Paya Lebar, di sini, hari ini.

Shaharul Azuar berkata, usaha menambah baik perkhidmatan Eco-Cruise Sungai Linggi juga dilaksanakan menerusi cadangan menambah jumlah bot sedia ada.

Menurutnya, mengikut perancangan pihaknya akan menambah sehingga lapan unit bot baharu bagi menampung permintaan pelancong berkunjung ke Pusat Eko-Pelancongan Paya Lebar.

“Tiga daripada bot berkenaan dicadangkan untuk ditempatkan di jeti baharu itu nanti. Lokasi persinggahan bot tetap sama iaitu Sabak Arang, Taman Lokan dan Kota Simpang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

757
Kongsi :
Previous post TANDAS AWAM MPHTJ MENANG TOTYA’24
Next post REMAJA PEREMPUAN HILANG SABTU LEPAS DITEMUKAN SELAMAT
Ubah saiz-+=