Jerebu: Melaka belum cadang tutup sekolah
AYER KEROH 8 Oktober – Belum ada sebarang perbincangan dilakukan untuk menutup operasi sekolah di negeri ini berikutan situasi jerebu yang berlarutan sejak minggu lalu.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Rusdi Abd Rahman berkata, pihaknya bagaimanapun akan terus memantau perkembangan indeks pencemaran udara (IPU) dari semasa ke semasa sebelum membuat sebarang keputusan lanjut.
Katanya, sekiranya bacaan IPU berada pada tahap membimbangkan, barulah satu perbincangan akan diadakan bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) mengenai cadangan penutupan sekolah.
“Setakat hari ini, kita belum sampai tahap menutup sekolah dan apabila ada berlaku IPU sampai ke peringkat jingga iaitu dengan bacaan lebih 200 barulah akan ada perbincangan bersama pihak JPN.
“Tapi buat masa ini nampaknya cuaca di Melaka berdasarkan Jabatan Meteorologi akan hujan dan jangkaan juga IPU tidak akan pergi ke tahap itu (tahap bahaya) jadi insya-Allah tidak perlu cadangkan tutup sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelepasan Nyamuk Aedes Dewasa Berwolbachia di Pangsapuri Taman Tasik Utama, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Merujuk kepada laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), semua tiga stesen di Melaka iaitu, Bandaraya Melaka, Bukit Rambai dan Alor Gajah merekodkan bacaan IPU tidak sihat melebihi 103 bermula 12 tengah malam tadi.
Bacaan paling tinggi adalah Bukit Rambai yang menyaksikan IPU meningkat sehingga mencapai 163 setakat 11 pagi tadi.
Bacaan IPU antara 0 dan 50 di kategori sebagai (baik) dengan warna biru; 51 hingga 100 (sederhana-hijau), 101 ke 200 (tidak sihat-kuning), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat-jingga) 300 ke atas (bahaya-merah).
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.