Jerebu: Elak pembakaran terbuka di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 5 Oktober – Orang ramai khususnya rakyat Negeri Melaka diminta untuk tidak melakukan pembakaran terbuka sepanjang musim jerebu ini.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka, Rosli Mustafa berkata, ia berikutan pembakaran terbuka seperti sampah-sarap dan sebagainya hanya akan memburukkan situasi pada ketika ini.

Katanya, Negeri Melaka kembali mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat pada jam 1 pagi tadi, dengan Bukit Rambai paling terjejas, diikuti Bandaraya Melaka, manakala Alor Gajah masih terkawal.

“Di pihak JAS Melaka, kita akan melakukan rondaan mencegah pembakaran terbuka. Jadi kita mohon semua untuk tidak melakukan pembakaran pada ketika ini.

“Pada masa sama, kita telah membuat kawalan pelepasan ke atas pencemaran udara dan akan terus menjalankan kawalan itu sehingga situasi pulih.

“Kedua-dua ini penting dalam usaha kita mengawal pencemaran dari punca tempatan,” katanya kepada pemberita.

Mengulas mengenai punca jerebu di Melaka dan beberapa kawasan lain di Malaysia, Rosli berkata, pihaknya masih percaya pencemaran udara itu dipengaruhi oleh faktor rentas sempadan.

Jelasnya, arah tiupan angin turut mempengaruhi fenomena jerebu pada ketika ini.

“Apapun, kita akan terus memantau status jerebu ini di seluruh Melaka bagi memastikan ia dapat dikawal dan ditangani sebaiknya,” katanya.

Untuk rekod, setakat jam 10 pagi, Bukit Rambai mencatat bacaan IPU tertinggi seluruh negara iaitu 153; diikuti Bandaraya Melaka dengan bacaan IPU 151, manakala Alor Gajah mencatat bacaan IPU sederhana dengan 99.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1214
Kongsi :
Previous post Jerebu: Bukit Rambai paling terjejas setakat 9 pagi
Next post Task force isu beras mula buat kerja
Ubah saiz-+=