Jentera parti disaran buat ujian kendiri COVID-19 – Rahmad

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 25 Okt. – Jentera parti yang terlibat dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka disaran membuat ujian kendiri COVID-19, kata Exco Kesihatan Negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Beliau berkata, kesemua bilik gerakan pilihan raya juga diharap dapat mengambil insiatif membeli sendiri kit ujian kendiri COVID-19 bagi mengelakkan penularan wabak itu sepanjang tempoh pilihan raya pada 8 hingga 20 Nov depan.

“Saya dah minta semua bilik gerakan pilihan raya ambil inisiatif beli kit ujian dan buat saringan kendiri COVID-19, ini untuk kita sentiasa memeriksa kesihatan sendiri.

“Pesan saya, jika ada yang demam janganlah datang, yang lain-lain tu kalau nak buat ujian calitan saya cadangkan untuk buat sendiri demi keselamatan diri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Perayaan Deepavali Tahun 2021 Negeri Melaka yang dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali di Dewan Seri Bendahara, hari ini.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata, perkara itu juga penting memandangkan akan ada parti-parti politik menjadikan majlis keraian tertentu sebagai medan untuk berkempen.

Justeru, beliau berharap semua yang terlibat dapat mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan bagi mengelakkan Melaka menjadi pencetus gelombang COVID-19 yang seterusnya.

“Selepas Kerajaan Pusat umumkan SOP PRN Melaka dengan beberapa larangan semalam, (ada) kemungkinan parti-parti politik akan gunakan majlis-majlis tertentu untuk alasan berkempen.

“Saya harap sangat supaya petugas-petugas parti, tidak kisah parti apa sekalipun patuhilah SOP kerana kita tak mahu jadi sejarah titik hitam yang mana PRN Melaka mencetuskan gelombang baharu dan sebagainya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

328
Kongsi :
Previous post PRN Melaka: Cadang berkempen secara maya dan media elektronik
Next post Bersatu cadang SOP PRN Melaka diperhalusi lagi
Ubah saiz-+=