Sorting by

×

Jentera BN hadapi PRN Melaka dilancarkan

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

KUALA LUMPUR 27 Okt – Barisan Nasional (BN) hari ini melancarkan jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 Nov depan.

Pelancaran itu telah disempurnakan oleh Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama kepimpinan tertinggi parti bertempat di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini.

Antara kenamaan yang hadir ialah Pengerusi Lembaga Penasihat BN Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan.

Hadir sama, Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dan lain-lain kenamaan.

Terdahulu, jentera-jentera parti mula memasuki perkarangan dewan pada jam 7.30 malam.

Ahmad Zahid mula memasuki perkarangan dewan kira-kira jam 8.30 malam dan ketibaannya disambut seluruh jentera parti.

Majlis bermula dengan bacaan doa, nyanyian lagu Negaraku dan lagu rasmi Barisan Nasional.

Sesi ucapan dimulakan oleh Ab Rauf yang menceritakan kembali detik pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang dianggap sebagai ‘Tragedi Oktober’.

Pentas kemudiannya diambil alih Mohamad selaku Pengarah Pilihan Raya BN dan diakhiri dengan ucapan daripada Pengerusi, Ahmad Zahid yang turut merasmikan majlis berkenaan.

Simbolik pelancaran itu menyaksikan Ahmad Zahid bertindak menyerahkan bendera BN kepada semua enam Ketua Bahagian di Melaka yang mewakili setiap Parlimen.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

798
Kongsi :
Previous post Jentera BN pamer komitmen tinggi berdepan PRN
Next post Calon BN perlu ada ciri WALI
Ubah saiz-+=