Jentera BN dingatkan guna media sosial sebagai medium utama kempen PRN Johor

Masa Membaca:2 Minit, 39 Saat

ISKANDAR PUTERI, 4 Feb — Jentera Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya menjadikan media sosial sebagai platform utama untuk mendekati pengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut mengingatkan jentera parti itu supaya bekerjasama antara satu sama lain kerana pengundi mahu melihat isu-isu dijawab segera.

“Jangan guna kempen konvesional tapi gunakan kempen-kempen melalui media sosial. Kita berikan kuasa untuk mengkoordinasikan kempen ‘nonverbal communication’ atau kempen tanpa lisan kepada BN bersama Penerangan UMNO Malaysia dan semua jentera penerangan parti-parti komponen.

Pengundi mahu melihat aktiviti berjalan ikut SOP (prosedur operasi standard) (COVID-19). Gunakan media sosial sebagai medium pertama dalam berkempen untuk PRN Johor,” katanya ketika berucap melancarkan Jentera BN Pusat Operasi Zon Barat Johor di Stadium Tertutup Kompleks Sukan EduCity di sini malam ini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan, Pengerusi BN Johor Datuk Hasni Mohammad, Naib Presiden MCA Senator Lim Ban Hong, Setiausaha Agung MIC RT Rajasekaran serta barisan kepimpinan tertinggi parti-parti komponen BN.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO turut melantik Pengerusi BN Selangor Tan Sri Noh Omar dan Pengerusi BN Kedah Datuk Seri Jamil Khir Baharom sebagai pengerusi bersama untuk melakukan penyelarasan jentera BN Zon Barat Johor meliputi Iskandar Puteri, Pulai, Pontian dan Tanjung Piai.

Ahmad Zahid turut berharap semua jentera di peringkat bahagian dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Zon Barat Johor dapat bekerjasama dengan pemimpin yang dilantik sebagai pengerusi bersama bagi melakukan penyelarasan selain tidak mengenepikan SOP COVID-19 yang ditetapkan kerajaan.

Sementara itu, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata keputusan PRN Johor dijangka memberikan impak yang besar terhadap Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja.

Beliau berkata justeru itu, kemenangan dalam PRN Johor wajib dicapai, namun BN tidak boleh terlalu selesa berdasarkan kemenangan yang telah dicapai sebelum ini semasa PRN Melaka.

“Setiap pilihan raya berbeza-beza, setiap PRN dan setiap PRU bukan sama. Semua orang hendak lihat kita kalah di Johor. 

Semua parti hendak melihat UMNO yang lahir di Johor…mereka hendak kuburkan kita di negeri lahirnya UMNO. Maka tanggungjawab kita, wajib untuk kita bangkit dan pertahankan,” katanya.

Beliau pada masa sama turut meletakkan indeks prestasi utama kepada jentera Zon Barat Johor dalam membantu memenangi sekurang-kurangnya lima daripada lapan kerusi DUN.

Dalam pada itu, Hasni yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor pula berkata PRN Johor akan menjadi barometer kepada negara dan gelanggang penentu untuk melihat corak kepimpinan yang diinginkan rakyat.

Beliau berkata hal ini berikutan rakyat memerlukan kerajaan yang stabil dan mampu dan Johor tidak perlu dipimpin atas dasar ihsan pembangkang.

“Kita mahu Johor lebih baik daripada yang ada…Johor bukan negeri biasa-biasa, kita tidak mahu mempunyai kerajaan atas ihsan pembangkang. Saya juga ingin mengingatkan semua dan diri sendiri supaya jangan cepat rasa puas hati, bukan begini sepatutnya kerajaan yang  (tidak stabil) memimpin Johor,” kata penyandang kerusi DUN Benut itu.

Kerajaan negeri sebelum ini diterajui BN dengan 28 kerusi merangkumi UMNO (14 kerusi); Bersatu (11) dan MIC (dua) dan PAS (satu) manakala Pakatan Harapan dengan 27 kerusi iaitu DAP (14); PKR (tujuh) dan Parti Amanah Negara (enam). -BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

570
Kongsi :
Previous post UMNO perlu sesuaikan dengan landskap politik baharu – Shahril Suffian
Next post KPDNHEP P.Pinang rampas pakaian berjenama tiruan bernilai RM55,120
Ubah saiz-+=