![Coronavirus 2](https://www.melakahariini.my/wp-content/uploads/2021/11/coronavirus-2.jpg?v=1638246735)
Jenazah pesakit COVID-19 kemalangan dibawa ke Hospital Hulu Terengganu
KUALA TERENGGANU, 15 Mac – Jenazah pesakit COVID-19 yang meninggal dunia dalam kemalangan selepas dipercayai melarikan diri dari pusat kuarantin semalam, telah dibawa ke Hospital Hulu Terengganu.
Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Datuk Dr Kasemani Embong berkata pengurusan jenazah pesakit tersebut akan dilakukan mengikut tatacara Pengurusan Jenazah COVID-19.
“Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu mengucapkan takziah buat keluarga pesakit dan akan menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut. Pihak hospital juga telah membuat laporan polis mengenai kejadian itu untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 8 pagi itu, lelaki berusia 66 tahun berkenaan meninggal dunia akibat kecederaan parah di beberapa anggota badan selepas terlibat kemalangan di KM 28, Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang berhampiran sebuah kilang di Hulu Terengganu.
Lelaki yang positif COVID-19 itu sedang menjalani kuarantin di Hospital Hulu Terengganu sejak Khamis lepas, sebelum dikatakan bertindak nekad melarikan diri dari wad dengan menaiki motosikal jenis Honda C100 milik salah seorang kakitangan hospital pada 6.30 pagi. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.