Sorting by

×

JENAZAH LIMA BERANAK DISEMADIKAN DALAM SATU LIANG LAHAD

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

SERKAM 17 Februari – Jenazah lima beranak yang rentung dalam kebakaran rumah di Kampung Berangan Enam, Umbai, di sini, 13 Februari lalu, selamat dikebumikan malam tadi.

Jenazah Laila Fathinah Mustapa, 37 tahun, yang hamil lima bulan disemadikan bersama empat anaknya, Nur Damia Batrisyia Abdullah,13; Izz Daffa Hafizuddin, 7; Nur Dalilah Khadijah, 6 dan Izz Danish Fathi, 4, dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Wakaf Haji Johari Bakar, kampung berkenaan kira-kira jam 10.45 malam tadi.

Terdahulu kelima-lima jenazah tiba di Masjid Baitul Rahman di Kampung Berangan Enam dari Unit Perubatan Forensik Hospital Jasin pada jam 8 malam.

Kesemua jenazah kemudiannya disembahyangkan selepas solat isyak yang diimamkan oleh Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Wira Abdul Halim Tawil.

Hadir sama memberi penghormatan terakhir lima beranak itu suami Laila Fathinah, Muhammad Khairuddin Sa’ari, 35 tahun, yang terselamat dalam tragedi itu dan turut dihadiri Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serkam, Datuk Zaidi Attan.

Kira-kira 1,000 orang yang terdiri daripada saudara-mara, penduduk kampung dan kenalan rapat hadir pada urusan pengebumian berkenaan.

Dalam kejadian pada jam 1.30 pagi, 13 Februari lalu, media melaporkan lima beranak ditemukan rentung selepas rumah separa kekal didiami mereka hangus dijilat api.

Bagaimanapun, suami dan bapa mangsa, Muhammad Khairuddin yang patah kaki kanan akibat kemalangan pada 30 Januari lalu, terselamat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

387
Kongsi :
Previous post PERUBAHAN ARAH ANGIN PUNCA PAYUNG TERJUN TERSASAR
Next post ‘ALHAMDULILLAH, RAYA KALI INI RUMAH LEBIH SELESA’