Jenazah bekas TYT Sarawak selamat dikebumikan
Terdahulu jenazah Allahyarham Tun Salahuddin dibawa ke Masjid Jamek Negeri kira-kira pukul 11.30 pagi untuk penghormatan terakhir, dan urusan solat jenazah dipimpin oleh Imam Besar Sarawak Datuk Mustapha Kamal Abdul Rahman selepas solat fardu Zohor.
Antara barisan tertinggi kepimpinan negeri yang hadir untuk memberi penghormatan terakhir ialah Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta barisan menteri kabinet negeri, selain Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof .
Abang Muhammad Salahuddin yang lahir pada 27 Ogos 1921, menjadi Yang Dipertua Negeri Sarawak dari 1977 hingga 1981, dan dilantik semula memegang jawatan itu pada 2001 hingga 2014.
Allahyarham merupakan individu pertama yang berkhidmat sebagai Yang Dipertua Negeri sebanyak dua kali.
Abang Johari menyifatkan Allahyarham sebagai seorang pejuang dan watak penting ketika Sarawak memutuskan untuk bergabung dengan Tanah Melayu dalam membentuk Malaysia, dan merupakan antara pemimpin terpilih untuk ditemu duga oleh Suruhanjaya Cobbold yang membawa ke era kemerdekaan.
“Tun Salahuddin juga telah dilantik menjadi Yang Dipertua Negeri sebanyak dua kali. Ini melambangkan ketokohan Allahyarham sebagai seorang pemimpin yang berjaya menyatukan rakyat berbilang kaum dan bangsa di Sarawak.
“Atas nasihat dan kepimpinan Allahyarham, kita dapat menikmati apa yang kita lihat pada hari ini dan hari ini Sarawak telah kehilangan insan yang besar jasanya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Masjid Jamek Negeri di sini hari ini. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.