Jenazah bekas Pengerusi Bernama selamat dikebumikan

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

KUALA LUMPUR, 31 Jan – Jenazah bekas Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Tan Sri Abdul Rahman Sulaiman yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 75 tahun, petang semalam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Melaka, Batu 10 Jalan Hulu Langat dekat sini, 11.20 pagi ini.

Van yang membawa jenazah Pengerusi Bernama ke-10 itu tiba di tanah perkuburan kira-kira pukul 10.35 pagi.

Terdahulu jenazah Allahyarham Abdul Rahman dibawa ke Masjid Al-Amin Pasukan Gerakan Am, Cheras untuk urusan solat jenazah yang dipimpin oleh anaknya, Saily Sulamazra.

Antara yang hadir memberi penghormatan terakhir ialah Pengerusi Bernama Senator Datuk Ras Adiba Radzi, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datuk Mokhtar Hussain, bekas Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abdul Wahab, wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin dan Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia Tan Sri Abdul Aziz Rahman.

Sementara itu Mokhtar berkata Allahyarham ketika hayatnya bukan sahaja banyak menyumbang dalam industri kewartawanan namun banyak juga usahanya terlibat dalam urusan kenegaraan khususnya dalam Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

“Ketika ekonomi negara alami cabaran, arwah mainkan peranan dalam membantu usaha kerajaan meningkatkan semula ekonomi dalam usaha menyebarkan mesej melalui komunikasi,” katanya.

Mokhtar turut menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang mudah didampingi untuk mendapatkan panduan dan bimbingan dalam kalangan wartawan muda.

Abdul Rahman meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Cheras kira-kira pukul 4 petang semalam akibat serangan jantung.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri Puan Sri Maznah Adam dan tiga orang anak.

Abdul Rahman yang merupakan anak kelahiran Parit Buntar, Perak, memulakan kerjaya sebagai wartawan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada tahun 1966, sebelum menyertai Bernama selaku Wartawan Kanan pada 1971.

Antara tahun 1971 hingga 1995, beliau pernah menjadi Ketua Biro Johor, koresponden bagi Thailand dan Indo-China, Ketua Penyunting, Ketua Pengarang Berita, Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri, Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Am serta Ketua Pengarang Bernama.

Beliau memilih bersara awal bagi bertanding Pilihan Raya Umum (PRU) Kesembilan pada April 1995 di kawasan Parlimen Parit Buntar sebagai calon Barisan Nasional (BN) dan memenangi kerusi berkenaan.

Abdul Rahman dilantik sebagai Pengerusi Bernama ke-10 dari 1 Feb 2010 hingga 31 Jan 2014, sebelum dilantik semula ke jawatan itu hingga 31 Jan 2016.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

451
Kongsi :
Previous post Malaysia catat 26,365 kes demam denggi tahun lalu, terendah sejak sedekad – KP Kesihatan
Next post Tahun Baharu Cina: Aliran trafik di lebuh raya utama lancar
Ubah saiz-+=