Jenazah Adibah Noor selamat dikebumi

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

KUALA LUMPUR, 19 Jun – Jenazah penyanyi dan pelakon terkenal Adibah Noor Mohamed Omar, 51, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat Permai di sini, tengah hari ini.

Pengebumian Adibah berjalan lancar dengan dihadiri bapanya Mohamed Omar Zainal Abidin, 87, dan ahli keluarga serta lebih 100 kenalan rapat dan rakan artis.

Antara selebriti yang hadir Datuk Afdlin Shauki, Datuk Hans Isaac, Datuk M. Nasir, Nikki Palikat, Remy Ishak, Linda Onn dan Ziana Zain.

Terdahulu, jenazah Allahyarhamah dimandi dan dikafan di Masjid Al-Ansar Taman Keramat di sini, kira-kira 9.30 pagi.

Suasana sedih dan pilu menyelubungi ketika jenazah Allahyarhamah tiba di tanah perkuburan, dengan rata-rata hadir sejak awal pagi bagi memberikan penghormatan terakhir.

Penyanyi Nikki berkata beliau menganggap Adibah sebagai seorang kakak yang sering menasihatinya untuk menjaga kesihatan.

“Dia selalu beri teguran untuk utamakan diri sendiri, dia pun berkongsi ada mengalami pendarahan mengejut yang terlalu banyak ketika buat show. Selepas itu dia kata dia buat pemeriksaan di hospital, tiada apa-apa.

“Tetapi rupanya itu adalah tanda awal dia ada kanser. Kita pun tidak sangka sebab dia jenis yang ceria dan apabila sedih pun dia sentiasa buat orang gelak,” katanya ketika ditemui pemberita di masjid berkenaan.

Pengarah dan pelakon Hans Isaac pula berkata Allahyarhamah adalah seorang yang sangat positif dan sentiasa menyokong setiap karyanya.

“Dia selalu (suarakan) isu pasal kebajikan orang lain dalam industri, dia sentiasa berjuang untuk kepentingan orang lain, dia tidak pernah mengeluh mengenai diri sendiri,” katanya.

Adibah Noor meninggal dunia di Hospital Gleneagles di sini, pada kira-kira 7.45 malam tadi akibat penyakit kanser ovari tahap empat.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1259
Kongsi :
Previous post Ibadah korban di Melaka diumum dua minggu sebelum Aidiladha
Next post Cadangan had usia kenderaan perlu dilihat secara menyeluruh
Ubah saiz-+=