Jenama semula pulau-pulau di Melaka untuk tarik pelancong
TELOK MAS 29 Jan – Pulau Nangka, Pulau Dodol dan Pulau Undan yang dikategorikan sebagai pulau premium bakal dibangunkan dan dibuka sebagai tarikan terbaharu pelancong di Melaka.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Pulau-Pulau Melaka (MPPM) Azhar Yaacob berkata, ketiga-tiga pulau berkenaan kaya dengan 150 jenis terumbu karang dan hidupan laut kelas A.
Katanya, perairan di pulau berkenaan juga memiliki ‘seafan’ lebih luas berbanding Sabah dan Sarawak yang amat sesuai untuk aktiviti snorkeling serta menyelam.
“Malah saiz ikan ‘nemo’ (ikan badut) di perairan kita juga lebih besar berbanding tempat lain. Di bawah klusters Pulau Besar ada enam pulau yang menarik, kebanyakannya belum terusik.
“Kajian untuk mewartakan pulau terbabit sebagai taman laut juga sudah selesai dan akan dibawa ke peringkat kerajaan negeri dalam masa terdekat.
“Kos pembangunan tidak besar, cuma tetapkan peraturan untuk penguatkuasaan bagi agensi negeri dan persekutuan serta aktiviti pemuliharaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Program Pulau Besar New Year Challenge 2022 di Pulau Besar, hari ini.
Pelepasan pertandingan membabitkan 120 peserta itu dilakukan EXCO Pelancongan Negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis dan turut dihadiri Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Salhah Salleh.
Azhar berkata, langkah mewartakan pulau di Melaka khususnya Pulau Besar
antara usaha penjenamaan semula lokasi peranginan itu sebagai sebuah lokasi bersih, selamat dan menenangkan.
“Kita juga ke arah membangunkan semula pusat resort di pulau ini yang terjejas akibat wabak COVID-19 sebelum ini.
“Jika perancangan ini dapat menarik 10 peratus pelancong ke Melaka juga sudah dianggap sebagai kejayaan amat bagus,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.