Jemaah teruja bacaan Sheikh Mohamed Abdel Aziz Ghonim
TANJUNG BIDARA 14 April – Kira-kira 800 jemaah Masjid al-Ehsan, Kampung Londang tidak melepaskan peluang menikmati alunan ayat suci al-Quran dibaca Ahli Majlis Fatwa Mesir, Sheikh Mohamed Abdel Aziz Ghonim ketika mengimamkan solat Isyak dan Terawih, semalam.
Sheikh Mohamed Abdel Aziz, 40, berkata, Malaysia tidak asing baginya kerana banyak menerima jemputan ceramah dan mengimamkan solat tarawih di negara ini sejak 2005 lagi.
Kerana memenuni jemputan itu beliau juga kerap berulang alik antara Kuala Lumpur dan Paris, Perancis.
Beliau mula belajar untuk bertutur dalam Bahasa Melayu sejak 1993 dan mula mendalaminya secara serius sejak tahun 2000.
“Saya menggunakan kaedah tiga bulan menghafal perkataan, tiga bulan menyusun ayat dan tiga bulan mempelajari tatabahasa.
“Selain itu, saya bergaul dengan pelajar Malaysia di Mesir tidak kira ketika di kelas atau melakukan aktiviti harian untuk membantu saya menguasai Bahasa Melayu,” katanya.
Majoriti jemaah yang ditemui berkata, kemerduan bacaan ayat suci al-Quran Sheikh Mohamed yang juga Mufti Pusat Islam di Paris, seakan-akan membawa mereka ke Masjidil Haram, Makkah.
Berkongsi kegembiraan Daud Md Isa, 72, berkata segala kenangan ketika beliau menunaikan ibadah haji pada 2019 segar semula dalam memorinya apabila mendengar alunan suara Sheikh Mohamed Abdel Aziz.
“Sebutan bahasa Arab oleh orang Arab sudah pasti tidak sama dengan sebutan lidah kita dan ia amat mengujakan saya,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi masjid, Datuk Abdul Mutalif Che Mat berkata, Sheikh Mohamed Abdel Aziz dijemput Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh untuk mengimamkan solat tarawih di beberapa masjid sekitar Masjid Tanah sejak 4 April lalu.
“Sheikh Mohamed Abdel Aziz akan kembali ke Perancis pada 18 April ini dan kami ucapkan jutaan terima kasih atas kesudian beliau memenuhi jemputan,” katanya.
Pix 1 dan 1b: Sheikh Mohamed Abdel Aziz Ghonim mengimamkan solat sunat Terawih di Masjid Kampung Londang, Masjid Tanah malam tadi.
Pix 2: Sheikh Mohamed Abdel Aziz Ghonim (kanan) mendengar sesuatu yang dikatakan oleh Abdul Mutalif Che Mat sebelum solat Isyak di Masjid Kampung Londang, Masjid Tanah malam tadi.
Pix 3: Noor Azmi Hashim, 63.
Pix 4: Daud Md Isa, 72.
Pix 5: Jamaludin Hamzah, 64.
Pix 6: Sheikh Mohamed Abdel Aziz Ghonim
– Foto DIN AHMAD
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.