Jemaah terharu dapat tunai solat tarawih tahun ini

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

AYER KEROH 12 April. – Sebak dan terharu, itu perasaan jemaah Masjid Al Hasanah, Sungai Rambai, Abdul Kalam Hassan apabila dapat menunaikan solat Tarawih tahun ini.

Abdul Kalam, 48 berkata, meskipun cukup berbeza berbanding dua tahun lalu kerana tidak dapat bersalaman dan berpelukan antara jemaah, namun kebenaran diberikan oleh kerajaan itu perlu dihargai sepenuhnya oleh umat Islam dalam suasana norma baharu.

ABDUL Kalam…rasa terharu amat sangat kerana pada tahun ini dapat solat Tarawih berjemaah di masjid.

“Rasa terharu amat sangat kerana pada tahun ini kita dapat meraikan Ramadan sebenarnya, walaupun ada SOP (prosedur operasi standard) yang perlu dipatuhi.

“Saya bersyukur dapat menunaikan solat Tarawih berjemaah di masjid tahun ini berbanding tahun lalu hanya bersolat di rumah bersama keluarga selain tidak dapat solat sunat Aidilfitri.

“Peluang yang diberikan oleh kerajaan ini pada waktu ini saya ambil kesempatan untuk beribadah di rumah Allah,” katanya.

Nada sama dizahirkan Sahari Husin, 63, yang memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana diberi peluang bersolat Tarawih di masjid.

“Saya sangat bersyukur kerana dengan kuasa-Nya, umat Islam dapat berjemaah bersama,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) di masjid berkenaan mendapati semua jemaah mematuhi SOP ditetapkan selain imam masjid mengamalkan solat lapan rakaat dan pembacaan surah pendek serta tazkirah ringkas.

Pengerusi masjid berkenaan, Shahidin Mohd Shah berkata, pihaknya akan memastikan setiap jemaah mematuhi SOP ditentukan kerajaan negeri termasuk tidak membenarkan jemaah yang tidak sihat memasuki rumah ibadah itu.

“Kita sudah maklumkan kepada semua jemaah supaya tidak datang ke masjid jika tidak sihat kerana dia mungkin mengganggu jemaah lain.

“Bagaimanapun, pemantauan dijalankan dari semasa ke semasa termasuk hanya membenarkan 250 jemaah berikutan perlu mengamalkan penjarakan fizikal ketika solat Tarawih walaupun kapasiti masjid mampu memuatkan kira-kira 2,500 jemaah dalam satu masa,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai Datuk Hassan Abdul Rahman berkata, pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) menerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) akan memantau jemaah di semua masjid dan surau supaya mematuhi SOP ditetapkan.

“Kita tidak mahu menimbulkan kluster baharu pula di rumah ibadah supaya semua boleh melakukan solat Tarawih bersama-sama,” katanya.

Pada 6 April lalu, kerajaan negeri membenarkan lebih 300 masjid dan surau di negeri ini melaksanakan Tarawih dengan SOP ketat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

756
Kongsi :
Previous post Denda tinggi ke atas pemburu haram pastikan Harimau Malaya tidak pupus
Next post Penjawat awam digalak berwakaf secara berkala melalui potongan gaji
Ubah saiz-+=