Sorting by

×

Jemaah sebak dapat tunai solat Jumaat selepas lebih dua bulan

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

BANDARAYA MELAKA – “Sudah berbulan-bulan tidak dapat ke masjid tunaikan solat Jumaat dan alhamdulillah hari ini saya diberi peluang menjejakkan kaki ke rumah Allah ini”.

Demikian reaksi sebak seorang pesara polis, Rosli Mohd. Hashim, 69, apabila terpilih sebagai antara 40 jemaah yang dapat menunaikan solat Jumaat di masjid negeri, Masjid Al-Azim, di Bukit Palah, di sini, hari ini.

Ujarnya, pada awalnya sukar untuknya menggambarkan perasaan apabila pihak masjid menghubunginya memaklumkan dia terpilih untuk menjejakkan kaki ke masjid selepas lebih dua bulan tidak berbuat demikian berikutan wabak Covid-19 yang melanda dunia kini.

Namun, pada masa sama, dia turut melahirkan rasa sedih kerana masih ramai lagi di luar sana tidak dapat menunaikan solat Jumaat di masjid kerana syarat di Melaka hanya membenarkan maksimum 40 jemaah sahaja untuk menunaikan solat fardhu berkenaan buat masa sekarang.

“Apa pun, saya syukur kerana saya pun tak tahu adakah ini kali terakhir untuk saya menunaikan solat Jumaat di masjid atau sebaliknya memandangkan umur yang semakin berusia dan berharap wabak Covid-19 yang melanda dunia berakhir tidak lama lagi,” katanya

Turut senada ialah seorang lagi jemaah, Raja Anuar Raja Majid, 57 yang sukar untuk menggambarkan rasa syukur dapat berjemaah di masjid menunaikan solat Jumaat selepas lebih dua bulan tidak dapat berbuat berkenaan.

Namun, pada masa sama, Penolong Pegawai Perubatan Hospital Melaka itu memanjatkan doa agar wabak ini segera berakhir bagi membolehkan semua umat Islam dapat kembali menunaikan solat berjemaah di masjid.

“Bila ada kelonggaran ini, saya amat bersyukur dan rasa gembira dapat berjemaah di masjid. Harap diteruskan lagi dan kalau boleh lebih ramai lagi bagus. Moga Allah permudahkan urusan kita dan Covid-19 dapat dihapuskan segera supaya kita dapat hidup secara normal,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Md Azhan Samat berkata, berdasarkan pemerhatiannya di masjid berkenaan mendapati 40 jemaah yang terpilih dilihat begitu berdispilin dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan JAIM dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, sekiranya perkara yang sama berlaku di masjid lain negeri ini, pihaknya positif untuk menambah bilangan jemaah pada masa akan datang.

“Bagaimanapun saya masih belum mendapat laporan di masjid mahupun surau yang dibenarkan untuk menjalankan solat Jumaat dan sekiranya didapati semua mematuhi SOP yang telah ditetapkan tidak mustahil bilangan jemaah akan ditambah.

“Namun cadangan penambahan jemaah itu perlu mendapat kelulusan kerajaan negeri melalui mesyuarat Jawatankuasa Jawatankuasa Fatwa Negeri,” katanya.

Views:

578
Kongsi :
Previous post Usah terpengaruh provokasi pembangkang – Idris
Next post KKSL santuni petugas barisan hadapan
Ubah saiz-+=