Jemaah menteri perlu elak pembaziran, fokus inisiatif ringankan beban rakyat – PM
Dalam sidang media pengumuman kabinet beliau hari ini, Anwar berkata anggota kabinet perlu mengutamakan tata kelola yang baik semasa melaksanakan tugas masing-masing.
“Saya tetapkan Jemaah Menteri kerajaan perpaduan utamakan tata kelola dan good governance dan isu yang harus diambil untuk ringkankan beban rakyat.
“Fokus utama tetap adalah pemacuan ekonomi,” katanya ketika mengulas sama ada terdapat KPI (Indeks Prestasi Utama) tertentu diletakkan terhadap Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan.
Anwar berkata beliau juga akan mengadakan pertemuan khas dengan Jemaah Menteri bagi membincangkan peraturan dan hala tuju setiap kementerian.
“Kaedah baharu (akan) diperkenalkan, dengan maksud memusatkan usaha dalam menjalankan kerja dan elakkan segala kecurigaan tentang kemungkinan pembaziran, rasuah dan salah guna kuasa,” katanya
Sementara itu, Perdana Menteri memaklumkan senarai timbalan menteri akan diumumkan kemudian.
Anwar hari ini mengumumkan pelantikan dua timbalan perdana menteri serta 28 anggota Jemaah Menteri bagi kerajaan perpaduan.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Fadillah Yusof yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) masing-masing dilantik sebagai timbalan perdana menteri.
Anwar, 75, turut memegang portfolio Menteri Kewangan.
Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 24 Nov lepas. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.