Jemaah Menteri diumum lewat petang ini – PM Anwar
IPOH, 2 Dis – Barisan Kabinet akan diumumkan lewat petang ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata senarai penuh barisan Kabinet telah diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pagi tadi untuk perkenan agar lantikan segera dapat dilaksanakan.
“Pilihan kita terbatas kerana seperti saya umum sebelum ini, kita tidak mahu terlalu ramai menteri atau duta bertaraf menteri supaya perbelanjaan dapat dikurangkan.
“Saya mohon mereka (Jemaah Menteri) ini kekal berkhidmat agar kita dapat memberikan fokus dan tumpuan kepada ekonomi,” kata Ahli Parlimen Tambun itu ketika berucap pada majlis kenduri rakyat diadakan bersebelahan Masjid Muhammad Al-Fateh, Taman Jati, di sini hari ini.
Anwar berkata barisan Kabinet akan dipanggil ke mesyuarat khas pada Isnin ini untuk penetapan peraturan-peraturan baharu.
Anwar berkata Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah berakhir dan kini adalah masa untuk kerajaan bekerja termasuk memberi peluang kepada beliau menunaikan tanggungjawab sebagai perdana menteri.
“Sekarang giliran saya. Bulan lalu giliran orang lain, tahun lalu orang lain, tiga empat tahun dulu pun orang lain. Jadi kita doakan orang ini (Anwar) kekal penuh sepenggal,” katanya.
Anwar berkata kerajaan perlu memulihkan ekonomi termasuk menyediakan pendidikan lebih bermutu, menangani masalah kos sara hidup agar lebih terkawal serta menyediakan kemudahan kesihatan dan prasarana yang lebih baik.
“Saya syukur kepada Allah kerana kita telah pulihkan sedikit keyakinan pelabur antarabangsa dan dalam negara malah ringgit juga diperkuat.
“Bila ringgit diperkuat itu bermakna kos import akan lebih berkurang seterusnya kos barang makanan seperti ayam dan baja dapat dikurangkan,” katanya.
Anwar yang juga Presiden PKR memenangi kerusi Parlimen Tambun dalam pertandingan empat penjuru pada PRU15 dengan memperoleh majoriti 3,736 undi.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.