Jemaah Malaysia lebih sedia, selesa lakukan umrah dan tertib
Pengarah Operasi Bimbingan TH, Ustaz Tengku Aziz Raja Abdullah berkata pandangan itu berlandaskan post mortem bersama petugas lain selepas beberapa kumpulan jemaah selesai melakukan umrah pertama apabila tiba di Makkah.
“Menerusi maklum balas jemaah didapati tiada masalah besar yang mereka hadapi kerana mereka dapat melakukan tawaf dengan selesa kerana tidak ramai yang berada di sekeliling Kaabah.
Keadaan tersebut adalah susulan peraturan Kerajaan Arab Saudi yang hanya membenarkan mereka yang perlu melakukan umrah sahaja berada di situ,” katanya ketika ditemui pemberita di bangunan ibu pejabat TH dan penginapan jemaah di Abraj Al Janadriyah.
Kata Tengku Aziz, pemahaman tentang ibadah umrah dan haji juga semakin baik malah rata-rata jemaah hanya menyuarakan kebimbangan tentang masalah kecil sahaja, yang tidak akan membatalkan ibadah itu.
Selain itu, beliau yakin bahawa kursus yang dianjurkan TH sebelum jemaah berangkat ke Tanah Suci menjadi salah satu faktor yang membantu mereka melakukan ibadah sebaiknya, selain peranan petugas TH di sini yang memberi penerangan dari semasa ke semasa.
Tengku Aziz berkata setiap rombongan akan dibahagi kepada beberapa kumpulan yang terdiri 100 jemaah di bawah bimbingan dua orang Pembimbing Ibadah Haji Tanah Suci (Pihtas) serta beberapa petugas Maktab (penginapan) masing-masing.
Sementara itu, Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata TH menyediakan program latihan secara berterusan kepada bakal haji sebelum mereka ke Tanah Suci.
Katanya, pelbagai medium latihan termasuk kursus haji secara dalam talian juga telah disediakan bagi memastikan jemaah sentiasa mendapat panduan bukan sahaja berkaitan ibadah tetapi juga panduan kendiri, termasuk menjaga kesihatan serta kebersihan, lebih-lebih lagi semasa di Arafah dan Mina.
“Bertepatan dengan penjagaan kesihatan dan kebersihan, TH akan meneruskan kempen kebersihan di kalangan jemaah haji, sepertimana dengan tuntutan agama Islam.
Alhamdulillah, pada musim haji 2017 dengan sokongan dan kerjasama dari Muassasah Asia Tenggara, kita telah berganding bahu menyertai jemaah haji dalam kempen menjaga kebersihan di Arafah dan Mina. Ini diperluaskan ke Makkah pada tahun berikutnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Taaruf antara barisan kepimpinan Syarikat Tewafah Asia Tenggara ( dulu dikenali sebagai Muassasah Asia Tenggara) dan Rombongan Haji Malaysia, malam tadi.
Katanya pengendalian jemaah tahun ini diharap lebih baik dari sebelumnya dan ia akan dapat dicapai menerusi kerjasama erat bersama Syarikat Tewafah Asia Tenggara dan kerajaan Arab Saudi. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.