Jelajah Melaka 20 Februari ini
SERI NEGERI 6 Februari – Orang Melaka, pengunjung atau pelancong boleh memilih untuk singgah ke 10 destinasi tarikan sekitar negeri ini yang dibuka secara percuma pada 20 Februari ini.
Berikutan itu bagi mereka bercadang untuk bercuti atau ‘healing’ di Melaka pada tarikh berkenaan sudah boleh merancang jadual perjalanan dan destinasi pilihan masing-masing.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, tawaran istimewa ‘Melaka Open Day’ itu adalah bersempena cuti umum Hari Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Negara.
“Antara 10 tarikan dibuka secara percuma kepada orang ramai adalah perkhidmatan Melaka River Cruise (MRC), Menara Taming Sari, semua muzim kendalian Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Zoo Melaka, Balai Cerap Al-Khawarizmi, Muzium Penjara Malaysia Melaka dan Malaysia Heritage Studios.
“Bagi peminat sukan golf lima kelab golf di Melaka menawarkan ‘green fee’ percuma, namun terdapat caj sewaan ‘buggy’ dikenakan. Bagi mereka mahu bersantai pada waktu malam sambil manikmati keindahan cahaya lampu boleh berkunjung ke Melaka Wonderland & Themepark.
“Jika mahu ke Taman Laut Negeri Melaka juga percuma, tetapi pengunjung perlu menampung tambang bot dan peralatan,” kata Ketua Menteri pada Sidang Media TMM2024 dan Hari Pengisytiharan Hari Kemerdekaan, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman bersama timbalan beliau Datuk Zaidi Attan dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Sa’ari Basiron.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.