Sorting by

×

JELAJAH KARNIVAL KPDN ZON SELATAN CIPTA SEJARAH TERSENDIRI

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

AYER KEROH 7 Disember – Jelajah Karnival KPDN 2024 Zon Selatan bakal direkodkan dalam Malaysia Book of Records (MBR) sebagai ‘Longest Non-Stop Government Community Sale’ menerusi penganjurkan Jualan Rahmah MADANI selama 40 jam tanpa henti.

Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penganjuran jualan selama tiga hari sehingga Ahad ini adalah bersempena meraikan 40 tahun Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM).

Katanya, jelajah itu juga diadakan bertujuan untuk merakyatkan perkhidmatan kerajaan, sekali gus memberi akses kepada pengguna untuk mendapatkan pelbagai barangan pada harga berpatutan.

“Objektifnya adalah untuk kita merakyatkan perkhidmatan kerajaan khususnya yang disedia dan dikawal selia oleh KPDN sendiri, malah matlamat kita juga bukan hanya memberikan akses kepada rakyat sebaliknya mendapat maklum balas.

“Jika sebelum ini selalu berpusat di Ibu Pejabat KPDN, namun dengan pendekatan jelajah ini bukan hanya tersedia kaunter tetapi menawarkan program sampingan lain yang mana rakyat boleh hadir mendapatkan perkhidmatan termasuk Jualan Rahmah MADANI 40 jam tanpa henti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Jelajah Karnival KPDN 2024 Zon Selatan yang berlangsung di Dataran Ayer Keroh, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin bersama timbalan beliau, Tuminah Kadi @Mohd Hashim dan Pengarah KPDN negeri Norena Jaafar.

Armizan berkata, penganjuran di Melaka adalah siri terakhir pada tahun ini selepas Perlis (Zon Utara), Kelantan (Zon Timur), Perak (Zon Tengah), Sarawak dan Sabah.

“Tahun hadapan kita akan teruskan dengan penambahbaikkan melalui maklum balas yang diterima daripada rakyat dan memperbanyakkan lagi di seluruh kawasan.

“KPDN berharap agar para pempamer dan pengunjung dapat memanfaatkan platform ini untuk memperluaskan rangkaian perniagaan, memperkenalkan jenama masing-masing serta menikmati peluang yang disediakan sepanjang karnival berlangsung,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

697
Kongsi :
Previous post 300 SKUAD IHSAN MADANI DIKERAH KE NEGERI TERJEJAS BANJIR
Next post LEBARKAN POTENSI PRODUK INOVASI MELAKA
Ubah saiz-+=