Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Melaka berkonsep kenduri rakyat
MELAKA, 10 Oktober – Konsep kenduri rakyat bakal memeriahkan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Melaka yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 14 Okt ini di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).
Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Abdul Shukur Abdullah berkata penganjuran kenduri rakyat itu sejajar dengan konsep nilai prihatin dan kasih yang dibawakan oleh Keluarga Malaysia.
“Selain mahu mempromosikan kepelbagaian menu dan juadah sihat, kita mahu kembalikan semula nilai-nilai kasih, akhlak murni dan keharmonian dalam konteks Keluarga Malaysia melalui kenduri ini,” katanya ketika menjadi tetamu dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM) pagi ini.
Katanya pelbagai aktiviti dan program interaktif akan turut dilaksanakan sepanjang tiga hari penganjuran jelajah tersebut seperti sesi bual bicara dan perkhidmatan bantuan serta nasihat dari pelbagai agensi berkaitan.
Antaranya kaunter perkhidmatan kementerian dan agensi, gerai usahawan, Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia dan Jualan Keluarga Malaysia.
“Pengunjung terutama golongan wanita juga diharap tidak lepaskan peluang mendapatkan maklumat berkaitan dengan gangguan seksual di samping perkongsian mengenai keibubapaan,” katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.