Sorting by

×

JEJANTAS TUN TEJA TERIMA LEBIH 10,000 PENGUNJUNG SEJAK DIBUKA

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 24 Februari – Pembinaan Jejantas Tun Teja terbukti membawa limpahan ekonomi kepada peniaga apabila menggamit kehadiran lebih 10,000 pengunjung sejak ia dibuka pada 21 Februari lalu.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman berkata, ikon baharu Negeri Melaka itu kini menjadi pilihan orang ramai untuk bersantai dan melengkapkan kunjungan dengan berswafoto.

“Seperti yang dihasratkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, Jejantas Tun Teja menjadi katalis kepada ekonomi setempat, tempiasnya turut dinikmati peniaga dan penjaja kecil.

“Dalam tempoh tiga hari ini (sejak 21 Februari) lebih 150 peniaga sekitar memberikan maklum balas bahawa mereka merasai limpahan hasil kewujudan Jejantas Tun Teja apabila tarikan baharu itu setakat ini menerima 10,000 pengunjung.

“Hasil perjumpaan empat mata bersama peniaga sekitar, ramai yang menyatakan perasaan gembira dan berpuas hati dengan kewujudan Jejantas Tun Teja ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Bagi Bulan Februari 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

Perhimpunan itu disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan turut dihadiri Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri, ketua jabatan dan agensi Negeri Melaka.

Mengulas lanjut, Shadan berharap pengunjung menghargai kemudahan baharu itu dengan bersama-sama menjaaa kebersihan Jejantas Tun Teja.

“Semua pengunjung diminta bersama-sama peka dan cakna terhadap aspek kebersihan agar persekitaran Jejantas Tun Teja sentiasa dalam keadaan kemas.

“Dijangkakan Jejantas Tun Teja akan menggamit lebih ramai pengunjung, terutama pada hujung minggu, apa tidaknya pada hari biasa juga ada yang singgah untuk bergambar,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

107
Kongsi :
Previous post MELAKA TUAN RUMAH TUJUH KEJOHANAN TENIS KEBANGSAAN DAN ANTARABANGSA
Next post ‘RIVER GUARDIAN BOAT’ LANCARKAN KERJA BERSIHKAN SUNGAI MELAKA