JEJANTAS TUN TEJA JADI ‘LUBUK’ REZEKI
BANDARAYA MELAKA 23 Januari – Jejantas Melaka Sentral yang berwajah baharu dan kini dikenali sebagai Jejantas Tun Teja telah membawa limpahan ekonomi kepada peniaga dan penduduk sekitar.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman berkata, walaupun belum siap sepenuhnya, jejantas yang direka dengan mengambil inspirasi rekaan warisan seni bina Istana Melaka itu sudah mula mendapat perhatian ramai.
Malah, katanya, dengan hiasan lampu berwarna-warni pada sebelah malam, ada di antara peniaga telah mengambil kesempatan untuk berniaga bagi memanfaatkan kawasan tarikan baharu Negeri Melaka itu.
“Kita melihat pada sebelah malam sudah ada ramai peniaga mengambil kesempatan berniaga di situ dan ada di antaranya mendapat sambutan hebat sehinggakan pelanggan beratur untuk membeli juadah walaupun pada lewat malam.
“Bayangkan apabila siap sepenuhnya kelak, kawasan ini yang dahulunya gelap gelita dan ‘mati’ pada waktu malam akan kembali meriah dengan pelbagai jenis perniagaan. Ia secara tidak langsung dapat mencambah ekonomi di kawasan sekitar,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurut Shadan, impak itu membuktikan MBMB bukan hanya bertindak sebagai sebuah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang memberi fokus kepada kebersihan dan keceriaan kawasan, bahkan turut memastikan gerakan ekonomi di sesuatu kawasan seiring dengan sesuatu projek pembangunan yang dilakukan.
“Tidak dinafikan, ada segelintir masyarakat hanya mahu memandang dari sudut negatif sahaja, antaranya mengaitkan ia suatu projek yang membazir dan sebagainya.
“Tetapi jika dilihat dari sudut pandang lebih luas, impak sesuatu pembangunan yang dilakukan itu dapat memastikan ekonomi bergerak seiring, sekali gus hasilnya dapat dirasai rakyat di kawasan terlibat,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, Jejantas Tun Teja dijangka akan dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada pertengahan bulan depan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.