Jejantas RM8 juta beri manfaat penduduk setempat
AYER KEROH 21 April – Tiga jejantas pejalan kaki di daerah Melaka Tengah yang siap dibina dengan nilai keseluruhan hampir RM8 juta akan memberi manfaat sepenuhnya kepada penduduk setempat.
Ketiga-tiga jejentas pejalan kaki itu adalah di Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah- Jasin (AMJ) Kampung Jambatan Duyong/Kampung Ladang, Jalan Melaka-Kendong berdekatan Sekolah Kebangsaan (SK) Bachang serta di Lebuh AMJ berhampiran Sekolah Agama Balai Panjang.
EXCO Kerja Raya Datuk Rahmad Mariman berkata, kesemua tiga pembinaan jejantas pejalan kaki itu disiap di bawah jumlah bajet sebenar melebihi RM8 juta yang diperuntukkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Kesemua pembinaan ini dapat disiapkan sepenuhnya dengan penjimatan yang mana di bawah bajet diperuntukkan menjadikan kos hampir RM8 juta.
“Malah projek ini juga disiapkan tanpa ada kecacatan major pada pembinaan selain mencatatkan sifar kemalangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek dan Berbuka Puasa Bersama Anak Yatim di Ayer Keroh Country Club (AKCC) yang turut dihadiri Pengarah JKR Melaka Datuk Ir Ismail Abd Rahman.
Menurut beliau, dengan pembinaan jejantas pejalan kaki itu ia akan memberi manfaat kepada semua rakyat terutamanya penduduk setempat yang melalui lokasi berkenaan.
“Penduduk berhampiran pastinya bersyukur kerana dapat memudahkan pergerakan seharian mereka dengan menjadikan jejantas ini sebagai penghubung laluan.
“Malah apa yang penting ia dapat menjamin keselamatan buat pelajar sekolah khususnya apabila menggunakan jejantas pejalan kaki ini,” katanya.
Terdahulu, pada majlis itu seramai 15 orang anak yatim turut diraikan JKR Melaka menerusi pemberian sumbangan duit raya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.