Jejantas Melaka Sentral bakal berwajah baharu
AYER KEROH 3 Januari – Jejantas Melaka Sentral bakal berwajah baharu dan menjadi ikon pelancongan Melaka selepas kerja menaik taraf keceriaan dan ubah suai struktur serta tambahan sistem perlampuan dilakukan.
Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman berkata, kerja naik taraf jejantas sedia ada itu dilakukan sebagai usaha memperbanyakkan lagi ikon atau mercu tanda di Melaka yang terkenal sebagai negeri pelancongan.
Menurutnya, mengambil rujukan konsep jambatan terkenal di Kuala Lumpur, kerja naik taraf jejantas Melaka Sentral itu yang berkonsepkan warisan seni bina Istana Melaka.
“Untuk kerja-kerja ini MBMB sudah keluarkan tender bagi pelaksanaan projek dan lawatan tapak sudah dilakukan oleh agensi yang terbaik, oleh itu kita jangka ia akan bermula pada pertengahan Februari depan. Kerja-kerja ini dijangka akan siap pada Julai atau Ogos.
“Apabila siap kelak jambatan itu akan bertukar wajah yang lebih menarik dan menjadi tumpuan orang ramai untuk singgah serta bergambar.
“Menariknya dengan hiasan lampu LED warna-warni di sepanjang jambatan ia akan bertukar warna malah apabila tiba musim perayaan seperti tahun baharu atau perayaan jambatan ini akan berlatar belakang suasana sambutan,” katanya.
Shadan berkata, lintasan itu adalah sebuah laluan jalan yang dihasilkan dengan penuh visi untuk menghormati kemegahan dan elegan seni bina Istana Melaka selain bahagian bumbung pula mempunyai reka bentuk atap yang megah serta diilhamkan daripada seni bina rumit dan berseni Istana Melaka.
“Lintasan ini bukan sahaja laluan jalan biasa tetapi juga akan menjadi mercu tanda dan ia adalah penghormatan kepada sejarah kaya Melaka selain menjadi simbol warisan budaya bandar yang kekal.
“Apabila siap kelak ia akan menjemput penduduk tempatan serta pelancong untuk merasai suasana masa silam,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.