JEJAMBAT PUSINGAN U BERTINGKAT ATASI KESESAKAN DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER LIMAU 7 Oktober – Projek pembinaan jejambat pusingan U bertingkat (Elevated U-Turn) diyakini mampu mengatasi isu kesesakan jalan raya yang berlaku di beberapa lokasi utama di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pembinaan infrastruktur itu mampu mengurangkan sehingga 70 peratus kesesakan yang berlaku.

Jelas beliau, Kerajaan Negeri telah membuat permohonan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan sedang menunggu kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan agar pembinaannya dapat dilaksanakan di negeri ini.

“Kerajaan Negeri sudah memohon perkara ini dan diharap ia dapat dipertimbangkan untuk meluluskan peruntukan bagi membina ‘elevated U-turn’ di Melaka.

“Permohonan ini telah disiapkan dan akan dipanjangkan ke peringkat Ibu Pejabat JKR supaya dapat dipertimbangkan permohonan ini.

“Sekiranya ia dapat dilaksanakan, pembinaan jejambat ini dapat mengatasi isu kesesakan jalan raya yang berlaku di Melaka terutama pada waktu puncak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Membina Jalan Baharu Dari Solok Ayer Limau ke Kampung Jeram Masjid Tanah Melaka, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Pengarah JKR Melaka, Ir. Mohamad Salzeli Moktar; Timbalan Setiausaha Bahagian Prasarana Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Azman Kasim serta tetamu lain.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

744
Kongsi :
Previous post NO RIGHT TURN: ENAM LAGI LOKASI SEDANG DIKENAL PASTI
Next post CUTI HUJUNG MINGGU JOHOR DITUKAR SABTU DAN AHAD MULAI 1 JANUARI 2025
Ubah saiz-+=