Jejak masjid warisan lebih dua abad
Oleh: Iqmal Haqim Rosman
KOTA LAKSAMANA 14 Oktober – Masjid Kampung Kling yang terletak di Jalan Harmoni (dahulu dikenali sebagai Jalan Tukang Emas), di sini, merupakan antara salah satu masjid tertua di Melaka.
Ia telah dibina pada tahun 1748 dan ia dikatakan menjadi tapak sebenar di mana pedagang India Muslim yang datang ke Melaka untuk berdagang pada abad ke-14 dan 15 menunaikan solat sejurus setelah tiba di Melaka.
Masjid ini mempunyai keunikan dalam seni reka struktur bangunan dan dekorasi yang melambangkan ketinggian ilmu seni bina dengan pengaruh dari pedagang Arab, Belanda, China, dan Jawa.
Malah, selepas beratus tahun, masjid ini masih mengekalkan nilai asli dan identiti Nusantara terutama pada ukiran kayu yang masih kekal sehingga hari ini.
Lebih menarik, masjid ini terletak berhampiran kuil dan tokong, sekali gus menggambarkan keunikan masyarakat berbilang kaum, agama serta bangsa di negeri ini.
Ia secara tidak langsung menjadikan Jalan Harmoni sebagai antara persinggahan orang ramai bukan sahaja untuk beribadat, bahkan turut menjadi tempat tarikan pelancong dalam dan luar negara.
Disebabkan jarak yang berdekatan dengan Masjid Kampung Hulu, pelaksanaan solat Jumaat diadakan secara bergilir-gilir di antara dua masjid ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.