JDI lulus pelan pemajuan projek dalam 29 hari

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

JASIN 26 Julai – Jasin Development Initiative (JDI) yang diperkenalkan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dapat mempercepat kelulusan pemajuan sesuatu projek lebih cepat berbanding sebelum ini.

Yang Dipertua MPJ Mohd Shaiful Hizam Johan berkata, berbanding kaedah konvensional, JDI dapat membantu kelulusan pelan pemajuan sesuatu projek dalam tempoh 29 hari sahaja.

Selain itu, ujar beliau, antara kelebihan JDI adalah pihaknya akan mengadakan pra rundingan bersama agensi teknikal selain pemaju atau pelabur juga boleh berunding dengan MPJ selaku pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum mengemukakan permohonan penuh.

“Antara yang akan mendapat manfaat daripada JDI adalah dalam sudut pembangunan kawasan industri terancang, di mana pelan pemajuan sesuatu projek itu boleh diluluskan dalam tempoh lebih singkat berbanding kaedah konvensional.

“MPJ merupakan PBT kedua di Melaka yang turut serta dalam program Melaka Industrial Booster (MIB) dengan tujuan untuk meningkat serta memudahkan pelaburan masuk ke Jasin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran JDI yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri bagi Bulan Julai 2024 dan Hari Bertemu Rakyat Kerajaan Negeri Melaka di Dewan Alamanda Jasin, di sini, semalam.

Menurut Mohd Saiful Hizam, antara projek yang telah mendapat manfaat daripada JDI adalah sebuah kilang terbesar di Jasin yang telah merancang untuk meningkatkan nilai pelaburannya di negeri ini.

“Menerusi JDI ini, kebenaran membina kilang itu telah dipercepatkan prosesnya dan ia memberi imej positif kepada pelabur bahawa negeri ini memudahkan segala urusan pelaburan dan perniagaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

104
Kongsi :
Previous post MPHTJ naik taraf 12 kawasan lapang
Next post Yakult terus perkasa kesedaran kesihatan usus
Ubah saiz-+=