Jazlan tak patut cakap begitu terhadap PM – Abdul Rahman
TABOH NANING 23 Jun – Kritikan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sepatutnya perlu pada saluran betul bagi menyatakan pandangan terhadap pemimpin negara itu, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.
Abdul Rahman berkata, kenyataan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang mengkritik Ismail Sabri secara terbuka baru-baru ini disfiatkan sesuatu yang tidak wajar.
Malah ujarnya, sepatutnya beliau sendiri perlu melaksanakan pertemuan dengan pemimpin itu sekiranya mempunyai sebarang pendapat mahupun idea yang boleh dibantu dalam menerajui kepimpinan negara.
“Sedangkan kini UMNO sebenarnya perbincangan antara ‘top five’ bersama presiden sedang berjalan lancar dan tidak ada nampak apa-apa masalah.
“Jadi kalau ada sikit-sikit lekat duri dalam daging ini sukar kita nak keluarkan, takkan seorang Ketua UMNO Bahagian sanggup perlekehkan Perdana Menteri yang datang dengan UMNO sendiri?
“Beliau perlu pertimbangkan dengan pemikiran yang waras dan ia perlu ada pertemuan empat mata kerana bagi saya Perdana Menteri amat terbuka kepada sesiapa pada bila-bila masa boleh berjumpa dengannya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Sijil Kursus Pendidikan Awal Kanak-Kanak (SPAK) 2022 diadakan di Dewan Puncak Ilmu, Kem Permata Resort, Ayer Paabas, di sini hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taboh Naning, Zulkiflee Md Zin, Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohamad Bidin serta tetamu lain.
Terdahulu media melaporkan, Nur Jazlan telah mengeluarkan kritikan terbukanya yang menganggap Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri dan UMNO yang paling lemah dalam sejarah negara.
Ia berikutan beliau mengkiritik tindakan pemimpin itu lewat mengambil keputusan berhubung jawatan Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin dalam kabinet.
Sementara itu Zuraida sebelum ini telah mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.