Jawatankuasa Pengurusan Bencana diaktifkan serta merta
Arahan itu dikeluarkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali yang mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Persediaan Menghadapi Banjir 2022/2023 Bilangan 2 hari ini, dengan mengambil kira ramalan hujan, taburan hujan, ribut petir, tanah runtuh serta musibah banjir di beberapa negeri.
“Saya juga ingin menegaskan agar semua agensi kerajaan, perlu bekerjasama untuk sentiasa bersedia dan proaktif mengendalikan pengurusan bencana dengan cepat, khususnya dalam penyaluran maklumat serta hebahan kepada rakyat semasa banjir,” katanya dalam catatan di laman Facebook hari ini.
Mohd Zuki berkata dari segi mobilisasi sumber manusia, lebih 55,000 pasukan penyelamat daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), serta aset-aset strategik termasuk bot bersedia untuk digerakkan pada bila-bila masa.
“Lebih 11,000 premis awam di seluruh negara, termasuk sekolah, balai raya dan masjid telah didaftarkan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) bagi mangsa bencana dan juga depoh penyimpanan barang-barang bantuan,” katanya. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.