Jawatankuasa khas urus pampasan RM5.4 juta untuk nelayan
KUALA LINGGI 24 Mac – Linggi Base Sdn Bhd (LBSB) dan Persatuan Nelayan Melaka Barat (PNKMB) menubuhkan jawatankuasa khas bagi menguruskan bayaran pampasan kepada nelayan yang terjejas susulan projek Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP), di sini.
Jawatankuasa berkenaan akan mengagihkan pampasan berjumlah RM5.4 juta kepada 251 nelayan dan mengendalikan kerja kebajikan bagi nelayan dari Tanjung Bidara hingga Kuala Linggi.
Pengerusi PNKMB, Mazelan Bakar berkata, ahli lembaga pengarah dan ahli persatuan itu memahami cadangan sebenar projek berkenaan selepas pihak pengurusan LBSB mengadakan beberapa sesi perbincangan dengan persatuan itu sebelum ini.
“Sebelum perbincangan itu, kami tidak tahu menahu apa sebenarnya KLIP dan amat bimbang mengenai masa depan kami kerana projek itu menjejaskan sumber perikanan dan pendapatan kami.
“Bagaimanapun, selepas beberapa siri perjumpaan dengan LBSB, kami mengakui pembangunan tidak dapat dinafikan tetapi kami meminta nasib kami diberi perhatian serius,” katanya selepas sesi perbincangan dengan Pengarah Projek Maritim LBSB, Komander (B) Ramli Johari di pejabat persatuan itu di Kuala Sungai Baru, di sini hari ini.
Beliau menjelaskan, kebanyakan ahli persatuan itu bersetuju KLIP dilaksanakan tetapi dengan syarat kepentingan dan kebajikan mereka tidak dikesampingkan.
Mazelan berkata, persatuan itu sudah menjalankan kajian jumlah pendapatan bulanan nelayan dan meminta LBSB menyediakan pampasan sekurang-kurangnya 70 peratus daripada jumlah berkenaan.
“Kalau sekarang nelayan makan nasi tiga kali sehari, kita tidak mahu nelayan makan sekali sehari selepas projek KLIP dimulakan.
“Kami juga meminta LBSB meneliti nasib nelayan di Telok Kemang, Negeri Sembilan yang dijangka turut menerima kesan daripada projek mega itu,” katanya.
Sementara itu, Ramli berkata, LBSB berterima kasih kepada PNKMB kerana menerima baik projek berkenaan dan berjanji tidak akan mengetepikan kepentingan nelayan.
Beliau berkata, jawatankuasa berkenaan akan menjemput wakil Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) sebagai pemerhati.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.