Jawatankuasa khas kaji rumusan Bengkel Konservasi: Pemulihan dan Pemuliharaan Warisan Ketara
KOTA LAKSAMANA 18 Mei – Satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi mengkaji rumusan penganjuran Bengkel Konservasi: Pemulihan dan Pemuliharaan Warisan Ketara.
Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Datuk Akramuddin Abdul Aziz berkata, usaha itu perlu diambil bagi memastikan objektif penganjurannya mencapai matlamat yang diharapkan.
Menurutnya, jawatankuasa itu juga nanti memastikan penganjurannya juga tidak semata-mata bengkel biasa dan tiada membawa sebarang manfaat.
“Rumusan itu nanti akan diperhalusi dan dilakukan kajian yang terperinci sebelum dikemukakan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mewakili Ketua Menteri merasmikan Bengkel Konservasi: Pemulihan dan Pemuliharaan Warisan Ketara di sini.
Seramai 150 peserta terdiri daripada wakil kerajaan tempatan, pelbagai agensi dari seluruh negeri dan pelajar Ipta serta Ipts menyertai bengkel selama tiga hari itu.
Sebanyak lapan kerta kerja dibentangkan sepanjang bengkel berlangsung termasuk lawatan peserta ke Pusat Konservasi Arkeologi, Survey dan Tatacara Pemuliharaan Warisan serta demontrasi.
Antara kertas kerja yang dibentangkan ialah Prospek Bangunan Warisan di Malaysia oleh Pesuruhjaya Warisan Pulau Pinang, Rosli Nor; Karakter Bangunan Warisan di Melaka oleh Pengurus Besar Melaka World Heritage Sdn Bhd., Erne Hamsah.
Kertas kerja lain seperti Kepentingan Arkeologi Dalam Kerja-Kerja Konservasi atau Pemuliharaan: Satu Cabaran Terhadap Masa Depan Warisan Negara oleh Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Prof Madya Dr Asyaari Muhammad.
Pada masa yang sama, beliau mengharapkan kerjasama kumpulan konservasi dapat berkongsi maklumat dan pengetahuan dalam bidang itu dari semasa ke semasa.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.