‘Jawatan TPM bukan keutamaan saya’ – Ismail

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 31 Okt.-“Kita lebih fikir bagaimana untuk membantu rakyat, bukannya soal jawatan”.

Itu pendirian disuarakan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang namanya kini hangat disebut-sebut sebagai calon Timbalan Perdana Menteri.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, tiada hak untuknya mengulas mengenai khabar angin tersebut, sebaliknya mahu lebih fokus kepada untuk membantu rakyat dalam tempoh-tempoh sukar akibat penularan pandemik COVID-19.

“Saya sebagai ‘interested party’ saya tak boleh nak komenlah (spekulasi Timbalan Perdana Menteri). Nanti orang kata saya komen untuk diri sendiri pula. Jadi biarlah.

“Lagi pun perbincangan dalam Mesyuarat Khas Ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO baru-baru ini lebih khusus kepada bagaimana nak membantu rakyat yang kini sedang susah akibat pandemik COVID-19.

“Jadi, rakyat dan bagaimana menyelesaikan isu COVID-19 adalah lebih penting buat masa ini. Tumpuan kita lebih ke arah itu dan bukannya soal jawatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) pada sesi ketiga Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi Ke-71 Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam di Balai Istiadat Seri Negeri, hari ini.

Terdahulu, timbul ura-ura mengaitkan Ismail sebagai individu paling tepat dan memenuhi kriteria yang diperlukan untuk menjawat jawatan nombor dua dalam Kabinet.

Selain Ismail, nama-nama lain yang menjadi sebutan ialah Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan dan bekas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Difahamkan, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sedang mempertimbangkan secara serius untuk melantik Timbalan Perdana Menteri daripada parti tunjang Barisan Nasional (BN), sebagai timbal balas terhadap sokongan mereka terhadap Rang Undang-Undang Pembekalan (Belanjawan) 2021, dan kestabilan politik negara.

Views:

423
Kongsi :
Previous post COVID-19: Hospital sementara untuk banduan risiko rendah
Next post Pelan kawal COVID-19 jangka panjang dibentang minggu depan
Ubah saiz-+=