JAUHI TIGA PENYAKIT JEJAS WIBAWA PENJAWAT AWAM

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

AYER KEROH 20 September – Penjawat awam di Negeri Melaka diingatkan agar menjauhi tiga penyakit yang boleh menjejaskan wibawa dan keberkesanan sektor awam, tegas Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ketua Menteri berkata, tiga penyakit tersebut adalah rasuah, salah guna kuasa dan membocorkan maklumat.

Menurut beliau, aspek integriti dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam perlu diperkukuh memandangkan setiap tindakan dan keputusan sentiasa diperhati, diperiksa, dianalisa dan dikritik melalui kanta alam maya.

Tambah beliau, penjawat awam juga perlu cakna tentang Akta Rahsia Rasmi atau Official Secrets Act (OSA) iaitu undang-undang yang mengklasifikasikan maklumat kerajaan sebagai ‘rahsia rasmi’.

“Saya mengambil serius berhubung perkara ini dan saya menegaskan agar insiden kebocoran maklumat rahsia rasmi atau terperingkat kerajaan khususnya melalui aplikasi media sosial seperti Facebook, Twitter, Whatsapp dan sebagainya tidak sewajarnya berlaku.

“Semua ketua Jabatan hendaklah sentiasa memperingatkan dan menegaskan kepada seluruh pegawai dan kakitangan di bawah seliaan masing-masing supaya sentiasa melindungi dan memelihara maklumat kerajaan.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana penjawat awam yang terlibat membocorkan maklumat rahsia rasmi kerajaan melalui peruntukan undang-undang sedia ada atau tindakan tatatertib di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka September 2024 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan agensi serta para penjawat awam Negeri Melaka.

Tegas Ab Rauf, Kerajaan Negeri tidak akan sesekali berkompromi dengan mereka yang dengan sengaja membocorkan rahsia kerajaan, sama ada secara rasmi atau tidak rasmi.

Katanya, hukuman berat bakal menanti mereka yang dengan sengaja membocorkan rahsia kerajaan, termasuklah boleh ditahan tanpa waran dan tidak boleh diberi jaminan.

“Janganlah sampai diibaratkan pepatah lama, membaling batu sembunyi tangan atau menjadi gunting dalam lipatan terhadap negeri dan negara,” ujar beliau.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

55
Kongsi :
Previous post MELAKA RIUH DENGAN BERMACAM PROGRAM
Next post I-WAQAF MUDAHKAN PENJAWAT AWAM BERWAKAF
Ubah saiz-+=