Sorting by

×

JATUH CINTA DENGAN ‘KUEH BAKAR’ KUALA SUNGAI BARU

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

KUALA LINGGI 17 Januari – Sebut sahaja kuih bakar pastinya ramai mengenali kuih tradisional ini, apatah lagi ia amat sinonim dengan Negeri Melaka.

Namun, keenakan rasa serta aroma setiap kuih bakar di negeri ini tidak sama, malah bergantung kepada ‘air tangan’ pengusahanya.

‘Berkampung’ selama dua minggu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, Melaka Hari Ini berpeluang meneroka pelbagai khazanah menarik yang ada di kawasan ini dan hasilnya, kami bertemu dengan gerai Kueh Bakar Warong KU-iNi 38.

Gerai yang terletak di Kampung Hilir, Kuala Sungai Baru itu diusahakan pasangan suami isteri Kamaruddin Ibrahim, 62 dan Zainah Tahir, 56.

Walaupun berada di kawasan paling utara Negeri Melaka, namun siapa sangka kuih bakar itu menjadi pilihan ramai apabila ada yang sanggup datang jauh dari Bandar Melaka untuk merasai keenakannya.

Menurut Kamaruddin, perniagaan kuih bakar itu diambil alih daripada adiknya, Mohd Rasidi, 48, sejak dua tahun lalu dan mengekalkan resepi warisan daripada arwah ibu mereka.

“Alhamdulillah kuih bakar yang masih mengekalkan resepi asli yang diwarisi oleh ibu ini dapat memenuhi citarasa ramai.

“Di sini kami hanya menjual tiga jenis kuih bakar iaitu rasa asli kuih bakar pandan, kuih bakar labu dan kuih bakar coklat, di mana setiap daripadanya mempunyai peminat tersendiri.

“Pastinya kuih bakar pandan menjadi pilihan kerana kata pembeli mereka sukakan rasa kayu manis pada kuih bakar asli kami membuatkan mereka ‘jatuh cinta’,” katanya.

Menurut Kamaruddin, waktu operasi warungnya itu hanya tiga hari seminggu iaitu pada Jumaat hingga Ahad, bermula seawal jam 8.30 pagi.

“Kebiasaan kami akan berniaga tiga hari sahaja tetapi jika ada cuti umum kita akan buka pada hari tersebut kerana tidak menghampakan pelanggan yang datang dari jauh.

“Selain penduduk setempat, pelanggan kami juga datangnya dari luar Melaka seperti Kelantan, Terengganu, Johor, Sabah dan Sarawak. Setakat ini paling jauh kuih bakar kami ‘terbang’ hingga ke Lubnan apabila dibawa oleh kawan.

“Disebabkan adunan kuih kami tidak menggunakan sebarang campuran bahan pengawet, ia hanya mampu bertahan selama dua hari dan selalunya mereka yang ingin membawa pulang jauh, kuih akan disejuk beku terlebih dahulu,” katanya.

Jelas Kamaruddin, amat penting baginya untuk mengekalkan keenakan rasa dan tekstur dalam setiap adunan kuihnya kerana kepuasan pelanggan keutamaannya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

211
Kongsi :
Previous post PERANTI TABLET ‘PENYELAMAT’, BERI BANYAK MANFAAT KEPADA PELAJAR
Next post KAMPUNG DIGITAL LERAIKAN DILEMA PENDUDUK KAMPUNG GUAN
Ubah saiz-+=