Jasin Development Initiative percepat proses kelulusan projek

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

JASIN 25 Julai – Jasin Development Initiative (JDI) yang dilancarkan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) bakal menambah baik dan mempercepat proses kelulusan projek-projek pembangunan di sekitar Jasin.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, MPJ merupakan antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) rintis yang dipilih bagi pelaksanaan Inisiatif Cadangan Penambahbaikan Proses dan Prosedur OSC 3.0 Plus.

Jelas beliau, menerusi JDI berkenaan, ia juga dapat memudahkan pelabur-pelabur untuk membuka perniagaan di kawasan Jasin tanpa perlu melalui tempoh masa yang panjang.

“JDI ini satu inisiatif melibatkan proses pengeluaran kelulusan bagi pelan pemajuan, tempoh pembinaan, pengeluaran Sijil Penyiapan Dan Pematuhan (CCC) dan pemberian lesen dapat dibuat secara lebih pantas.

“Inisiatif ini juga merupakan kerjasama dengan Invest Melaka di bawah inisiatif ‘Melaka Industrial Booster’ dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di bawah program ‘Ease of Doing Business’.

“Ia juga bertindak sebagai pusat sehenti (OSC) menyediakan khidmat rundingan dalam pembinaan fasiliti dan memulakan aktiviti perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri bagi Bulan Julai 2024 dan Hari Bertemu Rakyat Kerajaan Negeri Melaka serta seterusnya melancarkan JDI di Dewan Alamanda Jasin, di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.

Turut hadir Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta Yang Dipertua MPJ Mohd Shaiful Hizam Johan.

Menurut Ketua Menteri, antara matlamat digariskan JDI adalah, kelulusan pelan pemajuan akan dilakukan dalam 29 hari; kebenaran khas kerja awal untuk pendirian bangunan; pemudahcaraan dengan agensi teknikal di peringkat pembinaan fasiliti perniagaan; kebenaran pemasangan mesin awal dalam tempoh pembinaan serta lesen operasi diluluskan dalam tempoh 24 jam setelah CCC dikeluarkan.

“Saya yakin, dengan adanya JDI ini bukan sahaja membantu para pelabur dan pemaju mendapatkan gambaran mengenai kos, masa dan bilangan proses serta prosedur yang terlibat, bahkan juga dapat membantu menjimatkan kos pematuhan dan penjanaan hasil yang lebih cepat dalam kalangan pelabur.

“Justeru, saya merakamkan setinggi-tinggi syabas dan tahniah kepada Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) atas kesungguhan merealisasikan inisiatif ini sekali gus mendokong hasrat Kerajaan Negeri menggalakkan lebih ramai syarikat-syarikat pelabur merancakkan ekosistem pelaburan di Negeri Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

971
Kongsi :
Previous post MPAG semarak sambutan Bulan Kebangsaan 2024
Next post Bunga raya lambang patriotik warga MPHTJ
Ubah saiz-+=