Sorting by

×

JASIN BAH, 275 MANGSA DIPINDAHKAN KE PPS

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

JASIN 14 Oktober – Hujan lebat sejak tengah malam tadi yang berlarutan hingga ke pagi mengakibatkan beberapa kawasan dalam daerah Jasin dinaiki air.

Setakat jam 12 tengah hari, seramai 275 mangsa daripada 77 buah keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Melaka dalam satu kenyataan memaklumkan, setakat ini, sebanyak tiga PPS dibuka iaitu membabitkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum, Sekolah Kebangsaan (SK) Serkam Darat yang dibuka pada jam 8 pagi tadi.

Manakala dua lagi PPS baharu turut dibuka iaitu di SK Merlimau dan SMK Dato Abdul Rahman Ya’akob yang kini sedang dalam proses pendaftaran.

“Jumlah mangsa tertinggi ditempatkan di SMK Dang Anum iaitu membabitkan 216 mangsa daripada 55 keluarga.

“Ia diikuti 30 mangsa daripada 10 keluarga di SK Serkam Darat dan 29 mangsa daripada 12 keluarga di SK Tedong.

“Jumlah mangsa dijangka terus meningkat memandangkan terdapat dua lagi PPS sudah dibuka dan kini dalam proses pendaftaran mangsa,” kata kenyataan itu.

Menurut sekretariat berkenaan, setakat ini terdapat dua kawasan terjejas dalam daerah Jasin iaitu Kampung Kilang Berapi dan Lubok Buaya.

“Pemantauan berterusan akan terus dilakukan anggota jawatankuasa terlibat dan orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan Benca Negeri di talian 06-2307602 / 06-2324108,” tambah kenyataan tersebut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

218
Kongsi :
Previous post PIALA TUN TEJA JADI ACARA TAHUNAN
Next post MELAKA FATWA GISBH SESAT
Ubah saiz-+=