
JASIN ANTARA 20 BANDAR PALING BAHAGIA 2025
JASIN 21 Mac – Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) memulakan tahun 2025 dengan kejayaan membanggakan apabila Bandar Jasin diiktiraf sebagai antara 20 ‘Bandar Paling Bahagia 2025’ dalam satu majlis berprestij peringkat kebangsaan, semalam.
Pengiktirafan ini disampaikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming pada Majlis Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2025 di Dewan Kristal Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Putrajaya.
Yang Dipertua MPJ Mohd Shaiful Hizam Johan berkata, anugerah itu adalah antara kejayaan terbesar bagi daerah Jasin dalam memastikan kesejahteraan dan kebahagiaan penduduk.
“MPJ merupakan salah satu daripada 20 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang menerima pengiktirafan ini, sekali gus membuktikan bahawa usaha gigih pihak berkuasa dalam meningkatkan kualiti hidup penduduk telah membuahkan hasil.
“Pengiktirafan ini adalah hasil daripada pelbagai inisiatif yang dijalankan oleh MPJ dalam meningkatkan kesejahteraan komuniti.
“Ia termasuklah peningkatan fasiliti awam, pengurusan bandar yang cekap, kehijauan persekitaran, keselamatan serta pembangunan ekonomi yang mampan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata, kejayaan itu juga merupakan satu bukti bahawa Jasin bukan sahaja berkembang pesat sebagai sebuah bandar yang maju tetapi juga sebagai sebuah komuniti yang harmoni dan sejahtera.
“Seluruh warga kerja MPJ dan penduduk Jasin berhak berbangga dengan pencapaian ini. Kejayaan ini bukan sekadar penghargaan kepada MPJ, tetapi kepada semua pihak yang menyumbang kepada kesejahteraan bandar ini.
“Kami akan terus komited dalam memastikan bandar ini kekal sebagai tempat yang selesa, aman dan bahagia untuk didiami,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.