JARINGAN JALAN BAHARU PERSIARAN KOTA SYAHBANDAR – KLEBANG
KOTA LAKSAMANA 5 Disember – Parkland Group bakal melaksanakan pembinaan jaringan jalan baharu menghubungkan Jalan Persiaran Kota Syahbandar ke Klebang.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pembinaan jaringan jalan baharu tersebut merupakan inisiatif terbaik daripada Parkland Group.
Katanya, projek itu turut termasuk pembinaan bulatan baharu dan sambungan jalan menghala ke Straits Courtyard.
“Kerajaan Negeri optimis memastikan kelancaran inisiatif rangkaian jalan raya yang cekap dan sistematik seterusnya memperkukuh jaringan pengangkutan di bandar. Kemudahan ini bakal menjadi pemangkin kepada pertumbuhan setempat, kemudahan pergerakan selain menjamin keselamatan pengguna jalan raya.
“Projek ini bakal mencuri perhatian masyarakat kerana menyediakan pelbagai kemudahan selain akses yang mudah. Semua ini penting kerana tahun Melaka bakal menerima limpahan pelancong menerusi penganjuran Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD2025) disusuli Tahun Melawat Malaysia pada 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Parkland Avenue By The Sea dan Pemeteraian Perjanjian Bersama Village Grocer di Parkland Group, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin serta Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.
Yang turut hadir Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin dan Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Laksamana, Low Chee Leong serta Pengarah Urusan Parkland Group, Datuk Victor Tan.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata beliau optimis dan berharap inisiatif tersebut menjadi contoh kepada pemaju lain dalam bersama-sama membangunakan Negeri Melaka.
“Saya yakin usaha ini bakal meningkatkan kelancaran aliran trafik selain memperkukuh matlamat Kerajaan Negeri dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat kekal terjamin,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.