Sorting by

×

JAPERUN Pantai Kundor sedekah bubur lambuk

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

PANTAI KUNDOR 17 Feb. – Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Pantai Kundor memulakan amalan bersedekah bubur lambuk, semalam.

Lazimnya amalan bersedekah bubur lambuk dilakukan pada Ramadan tetapi ia boleh dibuat di luar Ramadan kerana sedekah adalah ibadah yang dituntut sepanjang waktu.

Bagi JAPERUN berkenaan, amalan itu dimulakan pada 5 Rejab dengan menjadikan Masjid Ibadur Rahman, Tangga Batu sebagai penerima pertama.

Sebanyak 160 paket bubur lambuk diedarkan kepada jemaah masjid sejurus selepas solat Asar berjemaah sempena hari pertama bubur itu dihasilkan tengah hari semalam.

Pengerusi masjid, Samsudin Ajis, 69, berkata anak kariah Kampung Tangga Batu bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan
kerana menyediakan juadah itu.

“Alhamdulillah, syukur kepada Allah dan terima kasih kepada wakil rakyat kami yang bermurah hati menyediakan bubur lambuk walaupun bukan pada Ramadan.

“Amalan bersedekah pada Rejab sekarang insya-Allah akan dicatatkan sebagai amalan jariah dan jika dilakukan pada Ramadan pahalanya berlipat ganda,” katanya selepas menerima bubur lambuk daripada Nor Azman semalam.

Abdul Ghani Md Ali, 47, berkata beliau agak terkejut menerima bubur lambuk sejurus selepas selesai menunaikan solat Asar kerana lazimnya ia dibuat pada Ramadan.

“Alhamdulillah, semoga amalan ini diteruskan pada Ramadan bagi membolehkan fakir miskin menikmati makanan enak seperti bubur lambuk,” katanya.

Nor Azman berkata, sukarelawan memasak bubur lambuk di pejabat JAPERUN Pantai Kundor setiap Selasa dan Khamis untuk diedarkan di sembilan masjid dan 16 surau dalam DUN berkenaan.

“JAPERUN Pantai Kundor menyediakan peruntukan RM500 untuk sekali masak bubur lambuk untuk masjid dan RM250 bagi sekali masak untuk surau.

“Hari ini (semalam), kami memulakan pengedaran bubur lambuk di Masjid Ibadur Rahman kerana masjid ini sudah diangkat sebagai Masjid DUN Pantai Kundor,” katanya.

Beliau berkata, amalan itu akan diteruskan pada Ramadan yang dijadualkan bermula pada pertengahan April depan.

Katanya, sepanjang Ramadan tahun lalu, JAPERUN berkenaan tidak terlepas untuk menyediakan juadah berkenaan pada hari tertentu yang diselangselikan dengan pemberian ayam dan telur untuk orang
ramai, terutama fakir miskin.

Views:

598
Kongsi :
Previous post Siapa menyamar datuk bandar MBMB?
Next post Sultan Nazrin puji guru sukarela bersihkan Sungai Balun
Ubah saiz-+=