JAPERUN Gadek ziarah, bantu mangsa kebakaran
GADEK 20 Mac. – Nasib dua beranak yang kehilangan rumah dalam kejadian kebakaran di Kampung Kuala Ina, Jalan Alor Gajah-Tampin, dekat sini, awal pagi tadi mendapat perhatian segera pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Gadek.
Pengerusi Penyelaras JAPERUN Gadek, Mustafa Musa hadir menziarah anak mangsa, Azwan Alwi, 30, bagi mengetahui lanjut keadaan keluarga terbabit serta menyampaikan bantuan kit makanan dan wang tunai, sekitar jam 8.30 pagi tadi.
“Anak mangsa memaklumkan tiada apa-apa barangan dapat diselamatkan dalam kebakaran pagi tadi termasuk sebuah kereta Perodua Viva turut musnah.
“Apapun kita bersyukur mangsa dan bapanya yang juga warga emas berjaya menyelamatkan diri dengan bantuan jiran
“Saya ucapkan takziah dan berharap mangsa bersabar dengan dugaan dan ujian ini,” katanya dihubungi hari ini.
Turut serta dalam lawatan itu adalah Ketua Bahagian MIC Alor Gajah, Datuk K.Rajan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kuala Ina, Mustafa Hamid dan Staf Japerun Gadek.
Mengulas lanjut, Mustafa berkata pihaknya juga sedang berusaha berbincang dengan agensi berkaitan bagi membantu pembinaan semula rumah mangsa.
“Insya-Allah kita pihak kami akan usahakan kepada agensi berkaitan untuk bantuan bina semula rumah mangsa yang musnah terbakar,” katanya.
Terdahulu, Melaka Hari Ini, melaporkan dalam kejadian jam 6 pagi itu, Azwan dan bapanya, dikejutkan jiran ketika api marak.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.